
KOTA KINABALU – Rang Undang-Undang (RUU) Pewarisan Orang Islam 2026 yang diluluskan Kerajaan Sabah bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri menjadi langkah penting dalam memperkemas dan memodenkan perundangan Syariah di negeri ini.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, kelulusan itu merupakan inisiatif perundangan pertama seumpamanya di Sabah dalam usaha memperkasakan pengurusan harta pusaka orang Islam.
“Kurang daripada sebulan lalu, pada 22 Julai 2026, Kerajaan Sabah dan DUN Sabah telah meluluskan RUU tersebut.
“Pencapaian ini membuktikan kesungguhan Sabah dalam menerajui pembangunan perundangan Syariah yang dinamik, moden dan berteraskan nilai keadilan,” katanya sempena perasmian Simposium Kehakiman dan Perundangan Syariah Negeri Sabah 2026, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, simposium bertemakan ‘Transformasi dan Reformasi Perundangan Syariah: Memacu Kecemerlangan Mahkamah Syariah Negeri Sabah’ menjadi medan memperkukuh perkongsian ilmu, pertukaran pengalaman dan jaringan kerjasama dalam kalangan warga kehakiman serta perundangan Syariah.
“Transformasi perundangan Syariah bukan sekadar perubahan struktur atau sistem, malah melibatkan pengukuhan institusi, peningkatan profesionalisme serta pemantapan budaya kerja berteraskan amanah, integriti dan kebertanggungjawaban,” katanya.
Katanya lagi, usaha memperkukuh institusi kehakiman Syariah perlu diteruskan supaya ia kekal menjadi tonggak penting dalam menegakkan keadilan, memelihara keharmonian masyarakat dan menjamin kesejahteraan rakyat.
“Transformasi institusi kehakiman dan perundangan Syariah di Sabah dicapai hasil komitmen berterusan Kerajaan Negeri dengan sokongan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta kerjasama erat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM),” ujarnya.
Jelasnya, antara transformasi yang dilaksanakan termasuk pelantikan Hakim Syarie dalam kalangan wanita serta pembangunan infrastruktur Mahkamah Syariah di enam daerah iaitu Kota Kinabalu, Keningau, Beaufort, Kinabatangan, Lahad Datu dan Semporna.
“Tiga lagi infrastruktur Mahkamah Syariah sedang dibina di Papar, Tawau dan Kota Belud bagi memperluas akses masyarakat terhadap perkhidmatan kehakiman Syariah.
“Peranan Mahkamah Syariah semakin penting berikutan pelbagai cabaran sosial termasuk isu kekeluargaan, hak wanita dan kanak-kanak, nafkah, pewarisan serta tuntutan Syariah.
Tambahnya, penyelesaian isu berkenaan bukan sahaja perlu berasaskan undang-undang, tetapi turut mengambil kira nilai ihsan, kebijaksanaan dan kemaslahatan.
“Sabah mempunyai keunikan dalam landskap perundangan negara dengan kewujudan sistem Sivil, Syariah dan Mahkamah Anak Negeri yang berjalan secara harmoni, selaras dengan kepelbagaian masyarakat dan budaya negeri ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, Tun Musa berharap simposium berkenaan menghasilkan resolusi dan syor bernilai yang dapat diterjemahkan kepada tindakan berkesan, selain menegaskan transformasi kehakiman Syariah perlu berpaksikan keadilan, integriti dan tadbir urus baik.
Beliau turut menyambut baik penerbitan Buku Penghakiman Syariah Negeri Sabah yang menghimpunkan koleksi alasan penghakiman Mahkamah Syariah Negeri Sabah sebagai rujukan kepada hakim, pengamal undang-undang, ahli akademik dan generasi akan datang.





