SEREMBAN – Persefahaman yang telah terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri Negeri (PRN) Sembilan akan diterjemahkan melalui
pembentukan kerajaan negeri yang stabil dan berpaksikan mandat rakyat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan itu bukanlah alasan untuk bermegah, angkuh, sombong, dan ujub, namun dibalas dengan kerja keras, pentadbiran berwibawa, serta khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan.
“Secara tidak rasmi setakat ini, BN telah memperolehi 18 kerusi dan PN memperolehi tujuh kerusi. Ini bermakna kita telah melepasi majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan.
“Kami akan mengadakan perbincangan susulan kedua-dua parti gabungan ini berkaitan dengan memuktamadkan pembentukan Kerajaan Negeri baharu atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan juga Undang Yang Empat,” katanya dalam sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, BN dan PN menyedari bahawa mandat rakyat datang bersama dengan tanggungjawab besar untuk membentuk kerajaan negeri stabil, berwibawa, dan benar-benar bekerja.
Beliau yang juga Pengerusi BN menegaskan, perkara terbabit penting demi menyelesaikan permasalahan rakyat serta mempertingkatkan kemakmuran Negeri Sembilan.
“Bagi pihak seluruh kepimpinan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pengundi yang telah keluar menunaikan tanggungjawab serta memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional untuk menerajui semula pentadbiran Negeri Sembilan!
“Insya-Allah, kami menerima keputusan ini dengan penuh rendah diri, tawaduk dan rasa tanggungjawab. Penghargaan yang tidak terhingga turut kami rakamkan kepada pengundi-pengundi yang memberi sokongan kepada BN dan PN.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dari seluruh negara, terutamanya para calon yang telah bersengkang mata bekerja keras. Tahniah untuk calon-calon yang menang! Kepada rakan-rakan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional dan Friends of BN, Barisan Nasional.
“Tentunya kepada rakan-rakan dalam parti-parti komponen Perikatan Nasional, para sukarelawan, NGO, penyokong, serta seluruh jentera dari Negeri Sembilan dan seluruh negara yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi memenangkan calon-calon kita,” katanya.






