
WALAUPUN laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) tidak menggunakan istilah ‘sakau’ atau ‘samun’, penemuannya tetap membangkitkan persoalan serius mengenai kemungkinan berlakunya rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan fakta dan dokumen dalam pengurusan institusi berkenaan.
Bekas Peguam Kanan Persekutuan di Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara (AGC), Liyana Marzuki berkata, bahasa yang digunakan dalam laporan berkenaan lebih lunak dan formal kerana ia merupakan sebuah dokumen rasmi RCI.
Namun katanya, kandungan laporan itu antara lain menyentuh amalan ‘perakaunan kreatif’, termasuk perubahan standard perakaunan, penyembunyian rosot nilai aset serta pengisytiharan keuntungan dan hibah ketika kedudukan kewangan sebenar didakwa tidak mengizinkan.
“Dalam Laporan RCI, tiada langsung perkataan ‘sakau’ seperti yang digunakan PMX atau ‘samun’ seperti yang disebut Tun Dr Mahathir.
“Perkataan yang digunakan lebih lunak daripada ‘samun’ atau ‘sakau’, sebab ia laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, laporan RCI Tabung Haji setebal hampir 200 muka surat diterbitkan dengan antara lain mendedahkan masalah kewangan TH telah berada dalam keadaan kritikal pada tahun kewangan 2017.
Suruhanjaya menyimpulkan krisis kewangan yang dihadapi TH ketika itu berpunca daripada gabungan beberapa faktor termasuk pembayaran hibah yang tinggi, amalan perakaunan yang disifatkan sebagai kreatif, kelemahan pengauditan serta strategi pelaburan yang melangkaui kemampuan kewangan sebenar institusi berkenaan.
Mengulas lanjut, Liyana berkata, laporan mengenai isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 itu turut merujuk kepada kemungkinan pemalsuan maklumat atau dokumen, selain menyenaraikan perkara yang berpotensi melibatkan kesalahan jenayah.
Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut masih memerlukan siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Beliau berkata, RCI juga mengesyorkan supaya audit forensik secara mendalam dilakukan terhadap semua pelaburan yang disifatkan sebagai ‘mencurigakan’ dan ‘bermasalah’.
Menurutnya, syor tersebut merupakan antara perkara paling penting dalam keseluruhan laporan kerana ia boleh membantu mengenal pasti aliran wang, pihak yang membuat keputusan serta kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang.
Dalam masa sama, Liyana menjelaskan, RCI bukan agensi penguatkuasaan jenayah dan tidak mempunyai kuasa untuk melakukan penggeledahan, menjejaki aliran wang, menyita aset atau mendakwa mana-mana individu.
Sebaliknya, fungsi RCI adalah untuk mengumpulkan keterangan, membuat penemuan dan mengemukakan syor kepada kerajaan serta agensi berkaitan.
“Atas nama ketelusan, elok semua yang dilaporkan ini disiasat dengan kadar segera kerana ia melibatkan dana dan tabungan orang Melayu Islam kita.
“Potensi untuk kesalahan rasuah dan salah guna kuasa tetap ada mengikut syor RCI. Cuma memerlukan SPRM dan PDRM untuk membuat siasatan dan pertuduhan terhadap mereka yang berkenaan,” katanya.
Selain itu, bekas Pegawai Khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkenaan mengingatkan bahawa bekas pengerusi TH pada penggal terdahulu tidak pernah didakwa atas kesalahan menyeleweng dana institusi tersebut.
Beliau berkata, individu berkenaan pernah berdepan sembilan pertuduhan berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram dalam kes berasingan membabitkan projek lebuh raya.
Namun, kes itu kemudiannya berakhir dengan pelepasan tanpa pembebasan sebelum individu tersebut dilepas dan dibebaskan.
Liyana turut menegaskan bahawa setakat kandungan laporan RCI, tiada maklumat yang mengesahkan dakwaan kononnya aset TH dijual atau diseleweng kepada bukan Islam atau mana-mana parti politik bukan Islam selepas pertukaran kerajaan pada 2018.
“Setakat ini, ia kekal sebagai propaganda dan fitnah yang belum terbukti,” katanya lagi.




