
Oleh: Haziq Azhar, Haziq Musa, Nana Mohamad & Jasmine AE
KUCHING – Keputusan kerajaan untuk menyahklasifikasi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) mendapat sokongan penuh daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Rata-rata rakyat menyifatkan ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap isu itu sebagai bukti komitmen memulihkan integriti institusi awam.

Bagi pekerja swasta, Mohammad Rezza Abdullah Bahida, 34, dapatan RCI tersebut menjadi bukti kukuh betapa pentingnya reformasi struktur institusi negara disegerakan.
“Apabila agensi amanah rakyat dikompromi demi populariti jangka pendek seperti pemberian hibah tanpa sandaran aset yang kukuh, ia sangat menjejaskan kepercayaan awam.
“Pelaksanaan 25 syor RCI ini adalah langkah wajib bagi memulihkan ‘kontrak sosial’ dan keyakinan rakyat terhadap urus tadbir institusi Islam negara,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan oleh Abdul Muhaimin Mohamad, 29, yang menegaskan pendedahan laporan itu penting bagi menamatkan pelbagai spekulasi liar.
Menurutnya, pihak berkuasa kini wajib menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang terbukti memanipulasi wang jutaan pendeposit.

Sementara itu, Mohd Alif Asraf, 24, menyifatkan keberanian Kerajaan MADANI dalam membongkar kemelut TH mencerminkan sebuah pentadbiran yang telus dan antirasuah.
“Pendedahan ini bukan sahaja memastikan akauntabiliti, malah memberi kefahaman jelas kepada rakyat mengenai langkah pembaharuan drastik yang telah kerajaan laksanakan,” jelasnya.

Turut senada, Karuna Pohim, 25, berharap siasatan tuntas yang diarahkan Perdana Menteri itu akan memberi pengajaran bermakna kepada semua pihak.
Tambahnya, tindakan tegas mengikut lunas undang-undang adalah jalan terbaik untuk mengembalikan sepenuhnya keyakinan pendeposit terhadap dana simpanan mereka.

Dalam pada itu, Henry Chali, 34, melihat pendekatan terbuka kerajaan itu sebagai satu peluang terbaik untuk memperkasakan kembali ekosistem TH.
“Pendedahan seperti ini sangat penting supaya segala kelemahan pengurusan masa lalu dapat diperbaiki demi meningkatkan kecekapan Tabung Haji pada masa hadapan,” ujarnya.
Terdahulu, Jemaah Menteri bersetuju mendedahkan Laporan RCI TH sepenuhnya kepada umum pada 29 Julai susulan kejayaan agensi itu mencatatkan fasa pemulihan yang stabil.
Setakat ini, pengurusan TH berjaya melaksanakan 75 peratus syor penambahbaikan sekali gus membolehkan pengagihan keuntungan yang meyakinkan bagi tahun kewangan 2025.





