
SEPANYOL merampas kedudukan nombor 1 dunia daripada Argentina dalam ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas Piala Dunia 2026.
La Roja yang kehilangan kedudukan teratas pada April lalu, kembali menghuni tangga pertama selepas menewaskan Argentina 1-0 pada aksi final Piala Dunia.
Perancis yang tewas 4-6 kepada England dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di Amerika Syarikat berada di tangga ketiga manakala England menghuni kedudukan keempat.
Sementara itu, Brazil naik satu anak tangga ke tempat kelima, diikuti Maghribi yang turut meningkat satu anak tangga ke kedudukan keenam selepas mara ke suku akhir.
Portugal jatuh dua anak tangga ke tempat ketujuh selepas tersingkir pada pusingan 16 terakhir di tangan juara dunia itu.
Belgium yang mara ke suku akhir meningkat satu anak tangga ke kedudukan kelapan, memintas jiran mereka, Belanda, yang turun satu anak tangga ke tempat kesembilan.
Dalam pada itu, tuan rumah bersama, Mexico, melonjak empat anak tangga ke tempat ke-10 sekali gus kembali berada dalam kelompok 10 terbaik dunia buat kali pertama sejak Mac 2022.
Jerman pula merosot dua anak tangga ke kedudukan ke-12 selepas tersingkir di Piala Dunia susulan kekalahan kepada Paraguay.
Dua lagi pasukan yang mencuri perhatian pada kejohanan di Amerika Utara turut mencatat peningkatan ketara.
Switzerland melonjak lima anak tangga ke kedudukan ke-14 hasil kemaraan ke suku akhir, manakala Norway mencatat peningkatan terbesar dalam kelompok elit apabila naik 12 anak tangga ke tangga ke-19 selepas turut mara ke suku akhir.








