
PETALING JAYA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan berhubung insiden salah laku membabitkan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah menengah di Rawang yang tular di media sosial.
Dalam kenyataan hari ini, JPN Selangor memaklumkan pihaknya memandang serius kejadian itu bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid sentiasa terpelihara.
Menurutnya, JPN tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku dan tidak akan melindungi mana-mana individu yang didapati bersalah.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat mengikut peraturan sedia ada,” menurut kenyataan itu.
JPN turut menggesa orang ramai supaya menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan tidak membuat sebarang spekulasi.
Terdahulu, tular video di media sosial insiden pergaduhan melibatkan beberapa pelajar di SMK Bukit Sentosa sejak semalam hingga mengundang pelbagai reaksi orang ramai.







