
SIBU – Kerajaan Sarawak merancang melaksanakan transformasi menyeluruh Bandar Sibu menerusi pelan pembangunan jangka panjang yang dijangka mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelan pembangunan itu memberi penekanan kepada pembangunan bandar mampan, ekonomi hijau, teknologi serta pembangunan rendah karbon.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan Sibu mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi negeri yang kini beralih daripada kebergantungan kepada industri pembalakan kepada ekonomi berasaskan inovasi dan kelestarian.
“Kerajaan negeri kini sedang memperincikan pelan pembangunan tersebut selepas mengambil kira pandangan pakar tempatan dan antarabangsa.
“Pengalaman Belanda khususnya dalam membangunkan bandar seperti Amsterdam yang mempunyai keadaan geografi hampir sama dengan Sibu, turut dijadikan rujukan dalam merangka pendekatan pembangunan yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu 2026 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang pada Sabtu.
Beliau berkata, kedudukan geografi Sibu yang lebih rendah daripada paras sungai merupakan antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian.
“Justeru, katanya, sistem saliran yang lebih cekap serta penyelesaian kejuruteraan moden perlu diterapkan bagi mengatasi masalah banjir dan air bertakung, terutama di kawasan berkepadatan tinggi seperti Bukit Assek,” katanya.
Katanya lagi, penyediaan pelan pembangunan itu dijangka mengambil masa kira-kira lima tahun sebelum pelaksanaannya dilaksanakan secara berperingkat memandangkan ia melibatkan pembangunan semula bandar secara menyeluruh yang memerlukan penelitian daripada pelbagai aspek.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak akan terus mengimbangi pembangunan dengan usaha pemeliharaan alam sekitar menerusi pendekatan yang menitikberatkan pembangunan rendah karbon serta prinsip Alam Sekitar, sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Tambahnya, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan yang dirancang bukan sahaja mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, malah menjamin kesejahteraan rakyat dan kelestarian untuk generasi akan datang.
Foto: UKAS







