KLUANG – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggunakan pentas ‘Grand Final’ Ceramah Perpaduan Mahkota dengan ucapan dari hati ke hati kepada pengundi di DUN Mahkota ini.
Beliau berkata, rakyat Mahkota memerlukan pasukan yang kuat untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi terus membangunkan DUN berkenaan.
Onn Hafiz juga merayu di hadapan lebih 1,000 hadirin yang hadir untuk memberikan kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan iaitu Syed Hussien Syed Abdullah dari Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar juga memberi jaminan untuk memastikan Syed Hussien bekerja utk rakyat Mahkota jika dipilih menjadi wakil rakyat.
“Kalau dia tak kerja, saya akan kerjakan dia, jadi esok bangun pagi, keluar suami, isteri, anak-anak untuk mengundi Syed Hussien, calon nombor satu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada hari terakhir berkempen di PRK Dun Mahkota di ceramah Grand Final di Kluang, malam ini.
Esok adalah hari mengundi PRK DUN Mahkota yang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Syed Hussien dan Haizan Jaafar dari Perikatan Nasional (PN).



