
KERAJAAN Perpaduan berjaya membuktikan dakwaan pembangkang yang menjangkakan momentum Kerajaan Perpaduan akan gagal adalah tidak benar.
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kadar mata wang negara semakin stabil semenjak beralih pemerintahan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tuan-tuan, hari ini saya boleh ingatkan suatu masa dahulu, pada permulaan mereka cemuh dan mengutuk kita mata wang negara jatuh.
“Ini Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) tidak tahu memerintah negara dan mengurus kewangan. Mereka kata, “see you at five” dan 1 AS Dolar akan menjunam kepada RM5.
“Mereka ingat mereka mahu jatuhkan kita, 1 Dolar AS bernilai RM5 tetapi hari ini, saya nak tanya berapa jumlah hari ini? Hampir RM4,” katanya.
Beliau berkata demikian pada hari terakhir berkempen di PRK Dun Mahkota di ceramah Grand Final di Kluang, malam ini.
Dr Dzul yang juga merupakan Menteri Kesihatan berkata, bagaimanapun, kenaikan atau penurunan kadar mata wang bukanlah kayu ukur semata-mata tetapi menunjukkan keyakinan pelabur luar terhadap negara.
“Nilai mata wang itu bukan segala-galanya tetapi adalah satu isyarat ekonomi sesebuah negara itu kukuh atau tidak.
“Sebab apabila nilai mata wang itu digunakan pertukaran mata wang, aktiviti import dan eksport kita baik. Maka nilai mata wang kita meningkat akan menunjukkan ekonomi negara adalah kuat,” katanya.
PRK DUN Mahkota yang menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien, 40, dan Mohamad Haizan, 61, diadakan susulan kematian Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdapat 66,318 pengundi berdaftar layak memilih pada PRK itu, dengan majoritinya iaitu 54 peratus adalah Melayu diikuti pengundi Cina 34 peratus dan lapan peratus pengundi India.
DUN Mahkota mula dipertandingan pada 2004 dan telah melalui lima pilihan raya dengan empat daripadanya dimenangi BN.



