
LANGKAWI – Persatuan Nelayan Langkawi memberi amaran keras kepada ahlinya yang dikesan membantu membawa masuk etnik Rohingya ke negara ini.
Pengerusinya, Mahadzir Ibrahim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat nelayan tempatan terbabit dalam kegiatan membawa masuk warga asing ke negara ini.
“Memang ada komuniti maritim yang dikesan berhubung dengan sindiket, namun kita memberi amaran tegas kepada mereka, jangan sekali-kali menjadi tali barut.
“Kami sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyampaikan maklumat berhubung kemasukan warga asing atau etnik Rohingya ke negara ini,” katanya.
Menurutnya, beliau sendiri pernah berdepan pengalaman mengesan dan menggagalkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika sedang bekerja di kawasan perairan Kampung Hujung.
“Masa itu saya nampak sebuah bot. Saiznya tidaklah besar sangat, tetapi penumpangnya melebihi muatan. Bila nampak begitu, saya terus beritahu rakan bahawa ‘ini bukan orang kita’.
“Saya segera memaklumkan kepada pihak berkuasa dan memaklumkan lokasi mereka di kawasan Pulau Baso yang menghala ke selatan, sebelum semua PATI itu berjaya ditangkap,” katanya.
Beliau berkata, dalam satu kejadian berasingan, pihaknya turut mengesan pendaratan PATI di kawasan Pantai Berjaya dekat Pantai Burau.
Susulan kelewatan pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian, Mahadzir segera menghubungi Balai Polis Kuala Teriang untuk memaklumkan pendaratan bot dan tindakan pantas itu berjaya menahan kumpulan pendatang terbabit.
Mengulas berhubung dakwaan wujudnya nelayan tempatan yang sanggup menjadi ‘tekong darat’ dan mengambil upah antara RM1,000 hingga RM2,000 untuk membawa masuk PATI, beliau tidak menafikan perkara berkenaan.
“Memang tidak dinafikan perbuatan (ambil upah) itu ada. Bagaimanapun, sebahagian mereka ini bukanlah nelayan sebenar, cuma penduduk yang tinggal di tepi laut dan mempunyai bot untuk ke sana ke mari. Itu yang menyebabkan timbul dakwaan nelayan yang buat kerja ini.
“Menjelang pertukaran musim monsun pada September ini, kita jangkakan cubaan masuk akan berlaku lagi. Taktik mereka adalah terapung (floating) di tengah laut sebelum ada ‘orang kita’ yang mengambil kesempatan membawa mereka masuk,” katanya.
Jelasnya lagi, persisiran Pantai Tanjung Rhu dan Ayer Hangat dikenal pasti sebagai antara lokasi ‘titik buta’ yang mudah dibolosi sindiket penyeludupan.
Menurutnya, kedudukan kawasan itu amat hampir dengan sempadan Thailand, iaitu pada jarak sekitar tiga batu nautika sahaja, menyebabkan lambakan PATI yang diusir dari perairan negara jiran mudah membolosi perairan Langkawi.
Untuk rekod, Persatuan Nelayan Langkawi yang mempunyai kira-kira 3,800 ahli berdaftar mengambil pendirian tegas untuk menyerahkan 100 peratus sebarang pergerakan mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Saya selalu pesan kepada kawan-kawan nelayan, janganlah cuba-cuba hendak jadi tali barut, atau cuba mengambil orang-orang (PATI) ini.
“Saya sebagai pengerusi persatuan tegaskan, jika perkara seperti ini berlaku dan mereka cari saya untuk minta bantuan, saya minta maaf. Kalau kamu buat jenayah, kamu tanggung sendiri. Pihak persatuan sama sekali tidak akan campur tangan,” katanya.




