
TAWAU – Program Advokasi berkaitan kesihatan, wanita dan keluarga perlu di perkasa dan diwar-warkan secara meluas kepada semua lapisan masyarakat bagi memastikan lebih ramai mangsa keganasan rumah tangga tampil mendapatkan bantuan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, melalui program seumpama itu, mangsa diberi pendedahan mengenai bentuk keganasan termasuk fizikal dan mental selain didedahkan dengan saluran bantuan yang tersedia kepada mangsa.
“Sebanyak lebih 50 kes keganasan rumah tangga direkodkan di daerah Tawau setakat ini, manakala jumlah keseluruhan di Sabah mencecah kira-kira 531 kes.
“Masih terdapat kes-kes yang tidak dilaporkan, sekali gus menjadikan advokasi sebagai medium penting jabatan atau agensi bertanggungjawab mendekati mangsa secara lebih berkesan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Advokasi @KRT PRISMANITA dan AKU WANITA @KRT peringkat Sabah 2026 di Dewan Masyarakat Tawau, pada Rabu.

Dalam usaha membantu mangsa yang masih takut untuk mendapatkan bantuan, Rina berkata, kerajaan turut membantu dari aspek kewangan agar mereka keluar daripada keadaan itu disamping menangani tekanan yang dihadapi.
Katanya, di peringkat kerajaan negeri melalui JHEWA terdapat pelbagai bentuk sokongan serta bantuan kepada mangsa termasuk dari segi kebajikan, kaunseling, nasihat dan sokongan lain yang diperlukan.
“Identiti mangsa sentiasa menjadi keutamaan kita untuk dirahsiakan dan bantuan yang disediakan juga telah diseragamkan berdasarkan kes-kes yang berlaku sebelum ini.
“Setakat ini, terdapat ramai yang tampil berani berkongsi isu dan masalah yang mereka hadapi.
“Semoga usaha ini dapat membantu mengurangkan isu ini serta menyedarkan lebih ramai mangsa, bukan sahaja dalam kalangan wanita dan kanak-kanak, tetapi juga sesiapa sahaja yang terlibat agar berani mempertahankan hak dan nasib mereka pada masa hadapan,” ujarnya.

Menurut Rina, keganasan bukan sahaja berlaku dalam bentuk fizikal yang dapat dilihat secara luaran, tetapi turut melibatkan keganasan mental dan emosi yang kesannya sangat besar terhadap mangsa.
“Ia mampu memberi kesan kepada psikologi mangsa sehingga menyebabkan mereka tidak mampu berbuat apa-apa dan hilang motivasi untuk terus hidup.
“Jadi, kita harus melihat isu keganasan ini bukan sahaja melibatkan wanita, tetapi juga golongan yang lemah dari segi membuat keputusan, pemikiran dan kuasa,” jelasnya.
Program dua hari bermula Selasa itu dihadiri lebih 700 peserta pelbagai latar belakang jabatan dan agensi termasuk orang awam.
Turut diadakan slot perkongsian dari panel agensi kerajaan seperti PDRM, Hospital Tawau dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, jualan rahmah serta jualan usahawan tempatan.




