
SHAH ALAM – Permohonan pembiayaan tanpa kadar keuntungan menerusi inisiatif DANA Pantas di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 akan dibuka mulai Ogos ini dengan peruntukan keseluruhan RM20 juta.
Ketua Pegawai Perniagaan Yayasan Hijrah Selangor, Nilammasri Jaafar berkata, inisiatif itu menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 bagi setiap usahawan dengan tempoh bayaran balik sehingga tiga tahun dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 usahawan berdaftar di negeri ini.
Beliau berkata, permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi aplikasi DANA PLUS yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store.
“DANA Pantas terbuka kepada semua sektor perniagaan yang telah berdaftar dan beroperasi sekurang-kurangnya setahun, manakala DANA Niaga Tani pula dikhususkan kepada usahawan dalam sektor pertanian, perikanan, penternakan dan akuakultur yang telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan.
“Pemohon juga perlu mempunyai pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), lesen berkaitan atau berdaftar dengan badan profesional mengikut keperluan perniagaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media.
Selain pembiayaan baharu, Nilammasri berkata, Yayasan Hijrah Selangor turut menawarkan kemudahan penjadualan semula pembayaran balik pembiayaan kepada kira-kira 6,000 usahawan sedia ada yang masih mempunyai baki pembiayaan, tanpa sebarang penalti, tertakluk kepada terma dan syarat semasa.
“Terdapat juga permohonan untuk penjadualan semula pembiayaan daripada usahawan yang terkesan akibat cabaran ekonomi dan masalah aliran tunai. Setiap permohonan akan dinilai berdasarkan keadaan serta keperluan pemohon,” katanya.
Menurut Nilammasri, antara cabaran utama yang dihadapi usahawan di Selangor ketika ini ialah kekangan modal kerja, peningkatan kos operasi, kenaikan harga bahan mentah serta keperluan mendapatkan pembiayaan dengan lebih pantas bagi merebut peluang perniagaan.
Beliau berkata, sebahagian usahawan mikro dan kecil juga masih berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan melalui institusi kewangan konvensional, sekali gus menjadikan inisiatif seperti DANA Pantas sebagai alternatif yang lebih cepat, mudah dan mesra usahawan.




