
KOTA KINABALU – Kerajaan akan terus memastikan pelaksanaan subsidi bahan api dilaksanakan secara bersasar dengan mengutamakan manfaat kepada rakyat Malaysia, di samping memperkukuh pembangunan sektor pelancongan menerusi inisiatif yang lebih menyeluruh.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, matlamat pelaksanaan subsidi bersasar seperti Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel adalah untuk membantu rakyat tempatan, justeru ia tidak wajar diperluaskan sehingga memberi manfaat kepada pelancong.
“Sektor pelancongan adalah satu bidang yang penting untuk negara dan Malaysia bergantung kepada sektor ini. Namun, dalam sektor ini, manfaatnya hanya akan sampai kepada pelancong. Jadi, mereka adalah kumpulan yang kita rasa sebenarnya tidak layak untuk mendapat subsidi daripada duit yang kita kutip daripada hasil dalam negara.
“Semasa kita buat BUDI 95 dan BUDI Diesel, matlamatnya adalah untuk memberi subsidi kepada rakyat kita, bukan untuk rakyat asing. Jadi, pelancong perlulah bayar harga yang sepatutnya,” katanya kepada media semasa Program Turun Padang BUDI Diesel @ Shell di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan mengiktiraf sektor pelancongan sebagai industri strategik yang perlu terus diperkasakan, namun bantuan kepada sektor itu tidak semestinya diberikan dalam bentuk subsidi bahan api.
Sebaliknya, beliau berkata, usaha meningkatkan daya saing industri pelancongan melalui penyediaan infrastruktur yang lebih baik serta pembangunan produk pelancongan yang berkualiti akan memberi impak lebih besar kepada pertumbuhan sektor berkenaan.
“Apa yang lebih penting untuk kita ialah melihat bagaimana untuk menggalakkan sektor pelancongan ini, macam mana kita boleh menyediakan infrastruktur yang baik, yang menyenangkan pelancong untuk datang ke Malaysia, terutamanya bersaing dalam industri pelancongan, serta bagaimana kita mahu merangka pembangunan tarikan pelancongan yang ada di sini.
“Apabila pelancong datang, mereka mempunyai lebih banyak pilihan untuk diterokai dan ini berpotensi memanjangkan tempoh percutian mereka di negara ini,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan II itu merasmikan Program Turun Padang BSN Micro Financing Tamu Papar (Pasar Tani) Bersama-sama YBM KPDN selain turut menyantuni penduduk setempat dalam Program Jualan Rahmah KPDN Bersama-sama YBM KPDN di Kampung Gusi Kinarut, Papar.



