Pelan Bioteknologi Sabah 2024-2034 pacu bioekonomi, perkasa tadbir urus biodiversiti

Ithma

KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuhkan tadbir urus biodiversiti serta agenda bioekonomi negeri menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024-2034.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelan tindalan itu menjadi kerangka strategik dalam memanfaatkan kekayaan sumber biologi secara bertanggungjawab dan berasaskan sains.

“Pelan tindakan berkenaan dirangka bagi menjana nilai tambah ekonomi, memperkukuh penyelidikan dan inovasi serta membangunkan industri bioteknologi yang mampan di Sabah.

“Pelaksanaan pelan itu turut bertujuan menghubungkan usaha pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi negeri, selain memastikan sumber biologi serta pengetahuan tradisi dimanfaatkan secara lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2026 sempena Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia peringkat Sabah, di sini pada Selasa.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Menurut Hajiji, melalui pelaksanaan pelan tindakan itu, dapat dimanfaatkan secara lestari serta memberikan manfaat yang adil dan saksama kepada rakyat negeri ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memperkukuhkan tadbir urus biodiversiti melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan khazanah berkenaan terus terpelihara untuk generasi akan datang.

“Tema Hari Biodiversiti Sedunia tahun ini iaitu ‘Tindakan Lokal, Impak Global’ amat bertepatan dengan usaha Sabah membuktikan bahawa tindakan di peringkat negeri mampu memberikan sumbangan besar terhadap agenda pemuliharaan biodiversiti dunia,” katanya.

Tambahnya, dalam usaha memperluaskan kawasan perlindungan biodiversiti, Sabah telah mewartakan kira-kira 216,000 hektar kawasan baharu melibatkan hutan simpan komersial dan tanah kerajaan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA).

“Sabah juga terus menjadi destinasi utama penyelidikan biodiversiti dunia menerusi kawasan hutan DaMaI (Danum-Maliau-Imbak) yang terdiri daripada Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau dan Kawasan Pemuliharaan Kanyon Imbak,” jelasnya.

Sementara itu, Hajiji berkata, kawasan berkenaan kini menjadi hab penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia yang menarik penyelidik tempatan serta antarabangsa untuk menjalankan kajian berkaitan spesies, habitat kritikal dan pendekatan pemuliharaan.

“Peningkatan permohonan Lesen Akses Sumber Biologi Negeri Sabah di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 membuktikan pengiktirafan terhadap kedudukan Sabah sebagai pusat penting penyelidikan biodiversiti di rantau ini.

“Hasil penyelidikan biodiversiti di Sabah turut mencipta sejarah menerusi Perjanjian Perkongsian Faedah (Benefit Sharing Agreement) pertama antara Kerajaan Negeri Sabah bersama Botanickel Sabah Sdn. Bhd. pada September 2025.

“Projek ini memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar dan penggunaan sumber secara efisien menggunakan teknologi fitoekstraksi inovatif yang melibatkan penggunaan tumbuhan hiperakumulator dari Sabah untuk mengekstrak logam nikel daripada tanah.

“Pojek berkenaan dijangka memberi manfaat kepada komuniti tempatan melalui peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, kontrak pertanian jangka panjang serta integrasi ekopelancongan, selain membuka peluang kepada pelabur dan industri antarabangsa meneroka potensi bioekonomi Sabah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuhkan budaya penyelidikan dan inovasi.

Beliau berharap anugerah tersebut terus menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi yang mampu mengangkat nama Sabah di persada dunia, selain menyumbang kepada usaha pemuliharaan, perlindungan dan penggunaan lestari biodiversiti di peringkat lokal, nasional serta global.

Related Posts

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak

IPOH – Sebanyak RM80,000 diperuntukkan bagi melaksanakan tujuh projek menerusi Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030 Tahun 2026, dalam usaha memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lima anak Perak ke Kazakhstan, timba ilmu agroekonomi bertaraf antarabangsa

IPOH – Lima anak Perak bakal membawa nama negeri ke persada antarabangsa apabila terpilih mengikuti Program Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)–Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU) selama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak