
KUCHING – Lonjakan bil subsidi bahan api negara kepada RM4.9 bilion pada April lalu ekoran ketegangan geopolitik di Asia Barat mendesak kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bagi melindungi kestabilan ekonomi rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebelum krisis antarabangsa ini memuncak, bil subsidi bahan api negara berada pada tahap terkawal iaitu sekitar RM800 juta sebulan.
“Keadaan yang stabil ini membolehkan perbelanjaan negara diuruskan secara optimum untuk manfaat pembangunan infrastruktur awam dan program rakyat,” katanya.
Beliau berkata, krisis geopolitik tersebut bagaimanapun menyebabkan bil subsidi melambung kepada RM4.7 bilion pada bulan Mac, sebelum terus meningkat mencecah RM4.9 bilion pada bulan April.
“Peningkatan mendadak ini memberi tekanan kewangan yang besar, sekali gus menuntut kerajaan memperkenalkan inisiatif BUDI MADANI bagi memastikan penampan fiskal negara kekal kukuh tanpa melepaskan bebanan kepada rakyat.
“Bagi mengelakkan gangguan di pasaran domestik, Putrajaya mengarahkan syarikat minyak nasional, Petronas dan pemain industri untuk melebarkan rangkaian sumber import bahan api,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel (Negeri Sarawak) di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Amir Hamzah menjelaskan kelangsungan bekalan merupakan prasyarat utama negara dalam mendepani cabaran global.
“Fokus kerajaan yang pertama adalah memastikan bekalan. Alhamdulillah sejak bermula perang ini, tiada masalah bekalan dalam negara,” tegasnya.
Menurutnya, langkah proaktif tersebut termasuklah mendapatkan sumber bekalan alternatif dari Rusia yang kini telah mendapat pelepasan sah daripada sekatan antarabangsa.
Beliau turut menjelaskan bahawa insiden terpencil melibatkan ketiadaan bahan api di beberapa stesen pam hanyalah berpunca daripada kelewatan logistik penghantaran kapal ke depoh, dan bukannya akibat kekurangan rizab negara.
Selain isu jaminan bekalan, kerajaan juga sedang giat memfokuskan usaha menutup ruang ketirisan yang selama ini merugikan wang pembayar cukai.
Berdasarkan data kerajaan dari bulan Januari hingga Mei, kurang daripada 0.76 peratus rakyat direkodkan menggunakan diesel melebihi kuota 200 liter sebulan, sekali gus membuktikan peruntukan tersebut adalah memadai untuk kegunaan majoriti pengguna.
Pada masa yang sama, jalinan kerjasama penguatkuasaan antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Marin kini diperkasakan bagi membanteras sindiket penyeludupan di sempadan.
Pelaksanaan penyasaran subsidi ini merupakan langkah serampang dua mata bagi memastikan lebihan dana kerajaan dapat disalurkan kembali kepada sektor kesihatan, pendidikan dan infrastruktur untuk manfaat generasi akan datang.







