Islam bukan milik mana-mana parti, Pas bukan badan pensijilan ‘Halal’ politik

KENYATAAN Presiden Pas dalam tulisan Minda Presiden bertajuk ‘Pas tidak pisahkan politik daripada Islam (Al-Din)’ yang menjelaskan keputusan menamatkan kerjasama dengan Bersatu atas alasan pelanggaran prinsip syariah, kemungkaran politik dan kegagalan memenuhi tuntutan perpaduan umat telah mengundang pelbagai reaksi.

Menurut Naib Presiden AMANAH. Datuk Mahfuz Omar berkata, Pas mempunyai hak untuk menentukan hala tuju politiknya serta membuat penilaian terhadap mana-mana rakan kerjasama.

Namun kataya, persoalan yang timbul ialah apabila penilaian tersebut dibingkaikan seolah-olah Pas memiliki autoriti mutlak untuk menentukan siapa yang berada di landasan Islam dan siapa yang telah menyimpang daripada prinsip syariah.

“Apa yang nyata Islam bukanlah milik Pas. Islam adalah agama Allah yang menjadi pegangan lebih dua bilion umat manusia di seluruh dunia. Ia merentasi sempadan parti politik, bangsa, negara dan aliran pemikiran.

“Tidak ada mana-mana parti yang boleh mendakwa dirinya sebagai pemilik tunggal kebenaran Islam atau bertindak sebagai badan pensijilan yang menentukan status ‘Halal’ dan ‘Haram’ politik pihak lain,” katanya.

Sejarah Islam sendiri membuktikan bahawa para sahabat Rasulullah SAW pernah berbeza pandangan dalam soal siyasah dan pentadbiran.

Namun perbezaan tersebut tidak pernah dijadikan alasan untuk memonopoli agama atau menafikan keislaman pihak yang mempunyai pendekatan politik yang berbeza.

“Perbezaan pandangan dalam urusan pentadbiran adalah lumrah dalam kehidupan bernegara dan tidak seharusnya dijadikan ukuran tunggal untuk menentukan tahap keislaman seseorang atau sesebuah organisasi.

“Apa yang lebih menghairankan ialah Pas selama ini merupakan rakan politik yang sangat rapat dengan Bersatu.

Dalam beberapa pilihan raya, jelasnya, Pas bukan sahaja bekerjasama dengan parti tersebut, malah mempertahankan kepimpinannya, berkongsi pentas politik dan menggesa rakyat memberikan mandat kepada gabungan yang dianggotai bersama.

“Jika benar Bersatu telah lama melakukan pelanggaran syariah sebagaimana yang didakwa hari ini, mengapa perkara tersebut tidak dibangkitkan lebih awal?,” soalnya.

Tambahnya lagi, mengapa kerjasama politik terus dipertahankan selama bertahun-tahun?

Adakah pelanggaran itu hanya disedari apabila hubungan politik mula retak dan timbul pertikaian berkaitan kuasa serta pembahagian kerusi?

“Soalan-soalan ini wajar dijawab kerana isu yang dibangkitkan bukan sekadar soal strategi politik, tetapi melibatkan penggunaan agama sebagai asas untuk menghakimi pihak lain.

“Apabila agama dijadikan instrumen untuk meletakkan lawan politik sebagai pihak yang tidak menepati syariah, ia berisiko mewujudkan persepsi bahawa sesiapa yang tidak bersama Pas dianggap tidak cukup Islam atau kurang komited terhadap tuntutan agama,” katanya.

Dalam politik Islam, ukuran sebenar bukanlah pada banyaknya slogan agama yang digunakan atau kekerapan memetik ayat al-Quran dan hadis.

Sebaliknya, ukuran yang lebih penting ialah sejauh mana nilai-nilai Islam berjaya diterjemahkan dalam kehidupan rakyat.

Menurut Mahfuz, politik Islam yang sebenar harus terpancar melalui keadilan dalam pentadbiran, integriti dalam pengurusan negara, penolakan rasuah dan salah guna kuasa, pembelaan terhadap golongan miskin dan terpinggir, pembangunan ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat serta usaha membina perpaduan dalam masyarakat majmuk.

“Islam mengajar umatnya berlaku adil, termasuk terhadap mereka yang berbeza pandangan.

Oleh itu, amat tidak wajar mana-mana parti politik meletakkan dirinya sebagai hakim tunggal yang menentukan siapa paling Islam dan siapa paling menepati syariah dalam gelanggang politik negara.

Katany, Pas berhak mempertahankan pendiriannya dan menjelaskan rasional setiap keputusan politik yang diambil.

“Namun hak tersebut tidak bermaksud Pas boleh memonopoli Islam atau mendakwa dirinya sebagai penentu mutlak kebenaran politik umat Islam,” ujarnya.

Masyarakat Islam hari ini semakin matang dan kritikal dalam membuat penilaian. Mereka tidak lagi mudah terpengaruh dengan slogan atau retorik semata-mata.

Sebaliknya, mereka menilai berdasarkan amanah, prestasi, kejujuran, kemampuan mentadbir serta kesungguhan menyelesaikan masalah rakyat.

Akhirnya, Islam terlalu besar untuk dimiliki oleh mana-mana parti politik.

Syariah pula terlalu mulia untuk dijadikan alat yang menghalalkan kawan dan mengharamkan lawan mengikut keperluan politik semasa.

Menurut Mahfuz, Islam sepatutnya menjadi jambatan penyatuan umat, bukannya alat untuk memonopoli umat demi kepentingan politik.

Dalam suasana politik yang semakin mencabar, umat Islam memerlukan pendekatan yang lebih matang, inklusif dan berteraskan nilai sejagat Islam.

Politik yang membina perpaduan, menegakkan keadilan dan memelihara maruah rakyat jauh lebih dekat dengan semangat Islam berbanding budaya yang menjadikan agama sebagai senjata untuk mengukur keimanan pihak yang berbeza pendapat.

Related Posts

PRN Johor: Maszlee sahut cabaran debat Onn Hafiz

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik secara terbuka menyahut pelawaan untuk berdebat dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Maszlee…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Albert Tei hantar surat cabaran debat kepada KP JKOM

PUTRAJAYA – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei meminta Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali memberi kepastian berhubung penganjuran debat yang dicadangkan sebelum ini, termasuk menetapkan tarikh, masa…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRN Johor: Maszlee sahut cabaran debat Onn Hafiz

PRN Johor: Maszlee sahut cabaran debat Onn Hafiz

Warga emas cedera parah ditetak dengan parang di kebun durian

Warga emas cedera parah ditetak dengan parang di kebun durian

BDR jimat RM5.98 juta subsidi petrol – KSN

BDR jimat RM5.98 juta subsidi petrol – KSN

Islam bukan milik mana-mana parti, Pas bukan badan pensijilan ‘Halal’ politik

Islam bukan milik mana-mana parti, Pas bukan badan pensijilan ‘Halal’ politik

Penurunan harga diesel bukti kerajaan prihatin keluhan rakyat

Penurunan harga diesel bukti kerajaan prihatin keluhan rakyat

Video murid dibuli di Tenom tular, polis dan JPN Sabah siasat

Video murid dibuli di Tenom tular, polis dan JPN Sabah siasat