
MUKAH – Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib menegaskan keunikan kepelbagaian budaya dan agama terus menjadi tunjang utama kepada kekuatan perpaduan rakyat di Sarawak.
Ahli Parlimen Mukah itu berkata, program berteraskan kebudayaan bertindak sebagai platform penting dalam memupuk semangat kebersamaan dan saling menghormati antara kaum.
“Penganjuran aktiviti seumpama ini secara tidak langsung berjaya merapatkan hubungan silaturahim antara barisan kepemimpinan dengan masyarakat akar umbi.
“Program kebudayaan khususnya di Mukah amat disokong kerana ia menjadi medan utama untuk kita mengekalkan keharmonian dalam masyarakat majmuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Niti Daun Peringkat Daerah Mukah 2026 yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine pada Sabtu.

Kemuncak program berskala besar tersebut disemarakkan dengan perarakan kebudayaan membabitkan penyertaan 32 kontinjen daripada pelbagai jabatan, agensi, persatuan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta sekolah di sekitar daerah Mukah.
Suasana di laluan perarakan bertukar warna-warni apabila peserta tampil mengenakan pakaian tradisional yang melambangkan kekayaan adat serta identiti suku kaum masing-masing.
Selain persembahan kebudayaan asli dan upacara ritual tradisi miring, Hanifah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi beberapa kategori yang dipertandingkan.

Antaranya ialah pertandingan perarakan terbaik, sepanduk, anugerah penyertaan terbanyak serta cabutan bertuah untuk pengunjung.







