
PEMERHATI politik, Raggie Jessy Rithaudeen mendakwa kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) kini semakin ketara susulan perbezaan pandangan mengenai kedudukan Bersatu dalam gabungan berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, terdapat petunjuk bahawa beberapa parti komponen dalam PN dikatakan lebih cenderung untuk melihat Bersatu meninggalkan gabungan itu bagi membolehkan penyusunan semula strategi politik dilakukan.
Raggie berkata, parti seperti Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) didakwa sedang menilai pelbagai pilihan bagi memastikan gabungan berkenaan kekal relevan menghadapi cabaran politik akan datang.
“Dalam penilaian mereka, Bersatu dilihat tidak lagi mempunyai kekuatan organisasi dan jentera yang mencukupi untuk memberikan kelebihan besar kepada PN.
“Sebaliknya, mereka melihat kekuatan tertentu masih wujud dalam kelompok yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang dianggap mempunyai pengaruh tersendiri dalam landskap politik semasa,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook pada Selasa.

Beliau mendakwa antara pertimbangan utama yang sedang dinilai ialah risiko perpecahan undi sekiranya Bersatu dan PN bertanding secara berasingan pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, keadaan itu berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi, khususnya di kawasan luar bandar yang selama ini lebih sinonim mengaitkan PN dengan Pas.
“Jika Bersatu bertanding menggunakan logonya sendiri manakala PN diterajui Pas, akan berlaku pertembungan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu yang boleh menyebabkan undi berpecah.
“Namun jika Pas pula keluar daripada PN dan Bersatu kekal dalam gabungan itu, risiko kekeliruan pengundi juga tetap wujud kerana PN masih sering dikaitkan dengan Pas,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, Gerakan dan MIPP dikatakan turut mengambil kira sentimen pengundi bukan Melayu sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan hala tuju gabungan berkenaan.
Katanya, terdapat pandangan bahawa PN berpotensi menarik lebih banyak sokongan bukan Melayu sekiranya imej gabungan itu dilihat lebih pelbagai dan tidak lagi terlalu bergantung kepada PAS.
Mengulas kenyataan pemimpin Bersatu bahawa parti itu tidak boleh disingkirkan daripada PN secara sewenang-wenangnya, Raggie berkata perkara itu bergantung kepada tafsiran serta peruntukan dalam Perlembagaan PN.
Beliau menegaskan perbezaan perlu dibuat antara konsep ‘keputusan sebulat suara’ dan ‘keputusan kolektif’ yang sering digunakan dalam sesebuah organisasi politik.
“Jika perlembagaan menyebut keputusan kolektif, ia tidak semestinya bermaksud semua pihak perlu bersetuju. Keputusan majoriti juga boleh menjadi keputusan kolektif yang wajib diterima semua pihak.
“Namun jika peruntukan itu secara jelas menetapkan keputusan mesti dibuat secara sebulat suara, maka situasinya berbeza dan ia boleh menyebabkan kebuntuan dalam membuat keputusan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Perlembagaan PN didedahkan kepada umum bagi membolehkan semua pihak memahami mekanisme sebenar yang mengawal perjalanan gabungan berkenaan.
Raggie berpendapat kegagalan menyelesaikan isu kedudukan Bersatu dalam PN berpotensi menjejaskan persiapan gabungan itu menghadapi pilihan raya akan datang, khususnya dalam soal pengagihan kerusi dan penggunaan logo.
“Dilema ini perlu diselesaikan segera kerana jika berlarutan, ia hanya akan meningkatkan risiko perpecahan undi dan melemahkan kedudukan PN menjelang PRU16,” katanya.









