
BATU PAHAT – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang dijangka berlangsung serentak disifatkan sebagai detik penting bagi memastikan kesinambungan kestabilan politik negara serta mengukuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke Siew Fook, menegaskan bahawa jentera parti kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya dengan tumpuan diberikan kepada kedua-dua negeri berkenaan susulan perkembangan semasa politik negeri.
Beliau berkata, perancangan awal yang dibincangkan dalam Konvensyen PH di Johor Bahru pada 17 Mei lalu menunjukkan kesiapsiagaan PH dalam menghadapi kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri tersebut.
“Pada konvensyen PH di Johor Bahru, 17 Mei lalu, saya cadangkan kalau Johor bubar, Negeri Sembilan juga bubar. Jika BN Johor lawan 56 kerusi DUN, PH Negeri Sembilan akan lawan 36 kerusi DUN.

“Johor bubar pada 1 Jun, esoknya Negeri Sembilan belum bubar, ramai ejek saya, ejek PH kata bila mahu bubar. Kita sabar dua hari, di Negeri Sembilan ada proses, perlu dapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Menurut beliau lagi, Negeri Sembilan akhirnya membubarkan DUN pada 4 Jun selepas melalui proses perkenan, sekali gus melengkapkan senario PRN serentak yang menjadi sasaran PH.
“Yang penting kita mahu PRN Johor dan Negeri Sembilan diadakan serentak, kita lawan di Johor dan Negeri Sembilan sama-sama. Sekarang ‘game is on’,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Johor di Batu Pahat, pada Sabtu.
Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan telah melaksanakan pelbagai dasar yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk mengekalkan subsidi petrol pada kadar RM1.99 seliter dengan kuota 200 liter bagi setiap individu.
“Ini termasuklah subsidi petrol yang masih dikekalkan RM1.99, seorang dapat 200 liter. Kita minta rakyat lihat fakta, satu dunia naikkan harga minyak tetapi di Malaysia kita turunkan harga minyak.
“Jika mahu perkara itu dikekalkan, maka kita kena pastikan politik di Putrajaya kekal stabil,” katanya.
Beliau turut menyeru pengundi di Johor dan Negeri Sembilan agar memberikan sokongan kepada PH bagi memastikan kesinambungan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menerajui negara.
“Untuk itu rakyat Johor dan Negeri Sembilan perlu berikan sokongan dan undi kepada PH supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim terus dapat pimpin Malaysia,” tambah beliau.


