Marina pertahan keputusan undur diri, nafi takut bertanding kawasan Melayu

SKUDAI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menepis dakwaan bahawa beliau takut untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu atau hanya mahu kekal di kawasan yang dianggap selesa sepanjang penglibatannya dalam politik.

Menerusi satu hantaran di media sosial pada Selasa malam, Marina tampil menjelaskan bahawa beliau telah lama menjalankan gerak kerja politik di kawasan majoriti Melayu, termasuk di Layang-Layang sejak tahun 2021, jauh sebelum memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai.

Menurut beliau, ketika itu dirinya masih baharu dan kurang berpengalaman dalam dunia politik apabila dihantar untuk membuka pusat komuniti serta menjalankan kerja lapangan di kawasan berkenaan yang dijangka menjadi medan pertamanya sebagai calon pilihan raya.

“Saya seorang budak segar, tiada pengalaman dan mentah dalam politik ketika dihantar buat kerja di Layang-Layang. Masa itu saya dijangka akan berdepan dengan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang ketika itu merupakan Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan pelbagai spekulasi selepas Marina mengumumkan pada Ahad lalu bahawa beliau tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya pada masa akan datang serta mengambil keputusan untuk berundur daripada arena politik.

Marina menegaskan bahawa beliau tidak pernah mempunyai masalah untuk berkhidmat di kawasan majoriti Melayu dan sepanjang tempoh itu turut dibantu oleh kumpulan sukarelawan yang tidak mempunyai latar belakang politik.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa hanya melalui pencalonannya di kawasan Melayu parti mampu berkembang, sambil mengingatkan bahawa dirinya pernah berperanan sebagai pengurus kempen di Mersing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun 2022.

Menurut Marina, calon yang diketengahkan ketika itu bertanding di kawasan yang mempunyai kira-kira 76 peratus pengundi Melayu dan masih berjaya mengelakkan kehilangan deposit walaupun pertama kali bertanding.

“Kalau betul nak kembangkan parti di kawasan Melayu, dah lama selepas dari itu diletakkan penyelaras. Akar umbi di sana suarakan isu ini berkali-kali. Dan sekarang mana penyelarasnya untuk kembangkan kerusi?” katanya.

Dalam pada itu, Marina turut berkongsi pengalaman getir yang dilaluinya sepanjang berkempen di kawasan luar bandar dan Felda, termasuk berdepan penolakan daripada sebahagian masyarakat setempat.

“Takkan sampai aku nak cerita lagi macam mana aku dengan seorang kawan perempuan Cina aku masuk berdua sahaja berjalan di Felda masa kempen edar risalah jumpa orang kampung. Aku seorang perempuan Melayu yang pernah berkempen dan diludah ke muka oleh seorang pakcik,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman-pengalaman tersebut membuktikan bahawa dirinya tidak pernah gentar untuk turun ke kawasan yang mencabar atau berdepan dengan pengundi daripada latar belakang berbeza.

Mengulas lanjut, Marina menegaskan keputusannya untuk tidak mempertahankan kerusi Skudai bukan berpunca daripada rasa kecewa, merajuk atau keinginan mencari kawasan yang lebih mudah dimenangi.

“Ini bukan pasal menang tak menang. Gopalakrishnan dari PKR pun boleh menang di Tiram pada tahun 2018 walau dengan majoriti 1,500 lebih.

“Keputusan aku tak ada kaitan dengan cerita konon merajuk ke, nak duduk tempat selesa ke. Mengarut,” katanya.

Marina turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan sukarelawan yang sentiasa bersamanya sepanjang perjalanan politiknya, sambil menyifatkan mereka sebagai tulang belakang kepada segala usaha yang dilaksanakan.

Katanya, walaupun datang daripada pelbagai bangsa dan agama, kumpulan sukarelawan tersebut memahami sepenuhnya sebab di sebalik keputusan yang diambil dan sentiasa bersama beliau ketika berdepan pelbagai cabaran.

“Mereka lain bangsa, lain agama tetapi mereka tahu sebab keputusan aku dan mereka berada dengan aku dalam semua keadaan,” katanya.

Related Posts

Raja Perlis mahu pentadbiran negeri diteruskan hingga tamat penggal

KANGAR – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mahu pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah diteruskan sehingga tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 bagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sidang Khas DUN Johor 22 Jun dibatalkan

JOHOR BAHRU – Sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 22 Jun ini dibatalkan susulan pembubaran DUN Johor yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Raja Perlis mahu pentadbiran negeri diteruskan hingga tamat penggal

Raja Perlis mahu pentadbiran negeri diteruskan hingga tamat penggal

Sidang Khas DUN Johor 22 Jun dibatalkan

Sidang Khas DUN Johor 22 Jun dibatalkan

Pemandu Volkswagen GTI mengaku tidak bersalah dalam tragedi Jalan Losong Feri

Pemandu Volkswagen GTI mengaku tidak bersalah dalam tragedi Jalan Losong Feri

Perlindungan ancaman siber untuk kanak-kanak tanggungjawab bersama

Perlindungan ancaman siber untuk kanak-kanak tanggungjawab bersama

Nilai RM100 Baucar Buku MADANI cukup bermakna buat mahasiswa

Nilai RM100 Baucar Buku MADANI cukup bermakna buat mahasiswa

“Allah Peliharakanlah Terengganu” – hilangnya sebuah simbol, tertangguhnya sebuah kerinduan

“Allah Peliharakanlah Terengganu” – hilangnya sebuah simbol, tertangguhnya sebuah kerinduan