
KAMPAR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan setiap aduan atau tuduhan yang tular di media sosial melibatkan penjawat awam akan melalui proses siasatan dan penelitian terperinci sebelum sebarang tindakan diambil.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPA, Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan terburu-buru menjatuhkan hukuman atau mengambil tindakan tatatertib hanya berdasarkan kandungan yang tular tanpa pengesahan dan penjelasan daripada pegawai terlibat.
Menurut beliau, setiap kes perlu disiasat mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak selain menjaga integriti perkhidmatan awam.
“Setiap kes perlu melalui proses siasatan dan pengesahan terlebih dahulu. Kami akan meminta pegawai yang terlibat memberikan penjelasan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Sekiranya siasatan mendapati tiada sebarang kesalahan dilakukan, kes tersebut akan ditutup. Namun, jika terdapat bukti berlaku kecuaian atau pelanggaran peraturan, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut prosedur termasuk dirujuk kepada Lembaga Tatatertib,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ibadah Korban Kampung Angkat MADANI JPA bersama komuniti Kampung Kota Baharu sempena Hari Raya Aidiladha, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd Shaiful berkata, JPA juga tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang sengaja menyebarkan maklumat palsu atau fitnah sehingga menjejaskan reputasi penjawat awam serta imej jabatan kerajaan.
Katanya, tindakan berkenaan termasuk membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan kandungan palsu.
“Laporan polis boleh dibuat sama ada oleh individu yang menjadi mangsa fitnah atau oleh jabatan terlibat sekiranya penularan kandungan tersebut memberi kesan buruk kepada imej dan reputasi organisasi.
“Sekiranya kandungan yang tular itu direka-reka dan menjejaskan imej jabatan, kami perlu mempertahankan nama baik organisasi melalui saluran undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, selepas laporan dibuat, pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara sekiranya terdapat kesalahan yang boleh membawa kepada tindakan pendakwaan.
“Menjadi tanggungjawab kami untuk mempertahankan kredibiliti jabatan-jabatan kerajaan. Sekiranya terdapat kes yang kukuh membabitkan pelanggaran peraturan atau unsur fitnah, tindakan lanjut akan diambil mengikut lunas undang-undang,” katanya.




