4 suspek cuba lari pemeriksaan polis diberkas

PETALING JAYA – Cubaan empat individu untuk melarikan diri selepas kenderaan dinaiki dikejar polis gagal apabila suspek ditahan di Jalan Air Jernih, Air Panas, Kuala Lumpur awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi selepas pihaknya menerima laporan mengenai sebuah kereta jenis Honda Odyssey dikejar kenderaan peronda polis di Persiaran Industri Kota Damansara, berhampiran sebuah stesen minyak.

“Kenderaan itu dipercayai dinaiki empat lelaki yang cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis.

“Dalam insiden berkenaan, suspek bertindak memandu secara agresif dan berbahaya sebelum kenderaan mereka berjaya ditahan di Jalan Air Jernih, Air Panas, Kuala Lumpur,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu membawa kepada penahanan empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an.

“Polis turut menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah curi dan pecah rumah.

“Antara peralatan dirampas ialah parang, pahat, playar boleh laras, dua bilah cutter, besi kuku kambing, beberapa pemutar skru serta tali ratchet,” katanya.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan.

“Suspek pertama mempunyai 16 rekod lampau dan dua rekod dikehendaki, suspek kedua mempunyai 19 rekod lampau serta dua rekod dikehendaki.

“Suspek ketiga pula mempunyai 15 rekod lampau dan dua rekod dikehendaki manakala suspek keempat mempunyai 16 rekod lampau,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 28(i)(ii) dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Related Posts

Operasi SAR pendaki wanita hilang di Gunung Batu Putih diperhebat, dibantu Orang Asli

TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, akan diperkukuhkan dengan penglibatan komuniti Orang Asli bagi membantu usaha mengesan mangsa.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kes MB Perlis tembak lembu: Polis mula siasatan awal

KANGAR – Polis memulakan siasatan awal berhubung video tular yang memaparkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dipercayai menembak seekor lembu ketika program korban di Kuala Perlis. Ketua Polis Daerah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Operasi SAR pendaki wanita hilang di Gunung Batu Putih diperhebat, dibantu Orang Asli

Operasi SAR pendaki wanita hilang di Gunung Batu Putih diperhebat, dibantu Orang Asli

Kes MB Perlis tembak lembu: Polis mula siasatan awal

Kes MB Perlis tembak lembu: Polis mula siasatan awal

Pemandu ambulans swasta didakwa bunuh kanak-kanak lelaki

Pemandu ambulans swasta didakwa bunuh kanak-kanak lelaki

Penyelidik UMS sahkan penemuan tumbuhan misteri di Tawau sebagai spesies baharu

Penyelidik UMS sahkan penemuan tumbuhan misteri di Tawau sebagai spesies baharu

Ibadah Korban Rahmah AMANAH Batu Pahat eratkan ukhuwah penduduk Senggarang

Ibadah Korban Rahmah AMANAH Batu Pahat eratkan ukhuwah penduduk Senggarang

Waspada dengan hari yang penuh tipu daya

Waspada dengan hari yang penuh tipu daya