
KUALA LUMPUR – Sidang media bantahan terhadap isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institut Penganjian Tinggi Awam (IPTA) dicemari kenyataan berbaur perkauman apabila Naib Presiden 2 Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Muhamad Afnan Zamri menjadikan pentas itu untuk mengkafirkan kaum Cina.
Beliau menyeru mahasiswa dan rakyat supaya turun menyertai himpunan bantahan terhadap kemasukan sijil itu ke dalam universiti awam yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat sambil menekankan masyarakat Melayu terlalu banyak berkompromi.
“Saya seru kepada semua, mahasiswa dan kepada rakyat untuk turun bersama-sama di dalam himpunan yang kita akan laksanakan nanti. Inilah, sebab kenapa kita lihat, kepada puak-puak Cina kafir ini. Semakin lama semakin kita kata kuat untuk menentang.
“Sebab kita tak menentang kepada mereka (kaum Cina), kita biarkan sahaja terlalu banyak, bertolak-ansur sehinggakan kita (orang Melayu) secara beransur-ansur ditolak keluar,” katanya pada sidang media bantahan UEC ke IPTA, pada Rabu.
Kenyataan itu mengundang perhatian kerana isu UEC yang sepatutnya dibincangkan dari sudut dasar pendidikan dan Perlembagaan dilihat berubah menjadi ucapan berbaur perkauman serta menyentuh sensitiviti agama.

Dalam ucapan sama, Afnan turut menyeru rakyat Malaysia yang memahami dasar negara dan Perlembagaan supaya bersatu mempertahankan identiti negara demi generasi akan datang.
Bagaimanapun, nada ucapan beliau dilihat bercanggah dengan seruan perpaduan apabila masyarakat Cina dikaitkan secara umum dengan istilah yang dianggap provokatif.
Isu pengiktirafan UEC bukan perkara baharu dan telah lama menjadi polemik dalam landskap politik serta pendidikan negara.
Perdebatan mengenainya sering timbul setiap kali berlaku perubahan kerajaan atau muncul cadangan untuk mengiktiraf sijil berkenaan bagi tujuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan sektor perkhidmatan awam.
Bagi pihak yang menyokong pengiktirafan UEC berpandangan sijil tersebut sudah diterima di banyak universiti antarabangsa selain menjadi laluan pendidikan kepada ribuan pelajar sekolah menengah persendirian Cina di negara ini, selain laluan itu tidak akan menjejaskan kedudukan sistem pendidikan kebangsaan kerana pelajar UEC masih perlu memenuhi syarat tertentu termasuk penguasaan Bahasa Melayu.
Namun, pihak yang menentang pula berpendapat pengiktirafan UEC boleh memberi kesan terhadap usaha memperkukuhkan sistem pendidikan kebangsaan serta dibimbangi mewujudkan jurang integrasi antara kaum jika tidak diteliti secara menyeluruh dan di atas faktor sedemkian, isu berkenaan sering dibincangkan dalam konteks dasar pendidikan, perpaduan nasional dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Terdahulu, sebanyak 23 gabungan NGO Melayu dan Islam mewakili lebih 1,000 pertubuhan membantah keras keputusan kerajaan membenarkan pemegang UEC memasuki IPTA.
Jurucakapnya, Mohd Zai Mustafa selaku Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH) mempengerusikan mesyuarat mengenai keputusan kerajaan berkenaan UEC bersama 23 NGO Melayu Islam.
Antaranya Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; pemangku Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Borhan Ahmad Zakaria dan Presiden Muslimin Malaysia (Isma), Suhaib Ar Rumy Selamat.
Hadir sama aktivis dan pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee; aktivis Melayu, Syed Hassan Syed Ali; aktivis masyarakat, Chandrasegaran Subramaniam dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis); Mohammad Azamuddin Sahar.





