
PONTIAN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) hari ini melaksanakan Majlis Pecah Tanah Kolej Komuniti Pontian, Johor sebagai langkah strategik memperkukuh pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta melahirkan modal insan berkemahiran tinggi di wilayah selatan negara.
Majlis yang berlangsung di Kompleks Penghulu Mukim Benut itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan turut dihadiri Datuk Seri Dr Ahmad Maslan selaku Ahli Parlimen Pontian bersama kepimpinan KPT, JPPKK, wakil kerajaan negeri Johor, pentadbiran daerah, agensi kerajaan, pihak industri serta komuniti setempat.
Pembangunan Kolej Komuniti Pontian bakal dilaksanakan di tapak strategik di Mukim Benut dengan menyediakan kemudahan pembelajaran moden, ruang latihan amali, fasiliti komuniti serta persekitaran kampus kondusif yang menyokong pembelajaran berasaskan teknologi dan keperluan industri semasa.
Institusi itu dirancang menawarkan dua program utama berimpak tinggi iaitu Sijil Agroteknologi dan Sijil Teknologi Pertanian Lestari yang memberi penekanan kepada pertanian pintar menerusi penggunaan dron, automasi, pengurusan data ladang, nutrisi tumbuhan, pertanian menegak serta sistem air pintar dan cekap.
Selain program sepenuh masa, kolej komuniti berkenaan turut menawarkan pelbagai kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) kepada komuniti setempat melibatkan bidang keusahawanan, katering dan sajian, teknologi maklumat serta agroteknologi bagi meningkatkan kemahiran dan taraf sosioekonomi masyarakat.

Menurut Zambry, pembangunan kolej komuniti itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi dan memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi khususnya di kawasan luar bandar.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah berkata, pembangunan institusi tersebut dirangka berdasarkan keperluan sebenar masyarakat serta kehendak pasaran kerja semasa yang semakin dinamik.
Beliau berkata, Kolej Komuniti Pontian dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan enrolmen pelajar dalam bidang TVET khususnya sektor pertanian moden, selaras aspirasi kerajaan menjadikan TVET sebagai pilihan utama pendidikan negara.
Pembangunan institusi itu turut menyokong reformasi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang merangkumi tiga teras utama iaitu Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Dasar TVET Negara 2030 dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RMTM) 2026-2030.

Selain itu, pembangunan tersebut selari dengan agenda pembangunan negeri Johor serta Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi penekanan kepada sektor pertanian moden, keterjaminan makanan negara serta pembangunan ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi.
Melalui pendekatan kolaboratif bersama industri dan agensi berkaitan, Kolej Komuniti Pontian diyakini mampu melahirkan graduan kompeten, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan pasaran pekerjaan masa hadapan sekali gus memperkukuh ekosistem TVET negara.






