KUANTAN – Pahang melalui Jawatankuasa Khas Penyelarasan Cadangan Pembangunan Kawasan FELDA Bukit Goh sedang meneliti beberapa cadangan syarikat kontraktor bagi memulih dan membangunkan semula kawasan itu yang terjejas akibat perlombongan bauksit lebih 10 tahun lalu.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kerajaan negeri dan FELDA menerima beberapa cadangan antaranya projek pembangunan bercampur (perumahan), tanam semula, projek ladang solar dan sebagainya.
Menurutnya, beberapa syarikat kontraktor telah dipanggil membentangkan cadangan masing-masing kepada jawatan kuasa yang dilantik.
“Baki pembentangan akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebelum jawatankuasa berkenaan memutuskan keputusan untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.
“Namun begitu, kepentingan kebajikan dan pulangan kepada peneroka menjadi keutamaan kerajaan negeri selain menjaga hak negeri dan FELDA bersama,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung hala tuju kerajaan negeri membantu nasib peneroka FELDA Bukit Goh yang terjejas dikemukakan Mohamad Ayub Mat Ashri (Pas- Sungai Lembing) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Amizar berkata, sejak moratorium dilaksanakan pada 2016, kawasan ladang kelapa sawit di FELDA Bukit Goh terbiar tanpa usaha pemulihan tanah yang berkesan.
“Ramai peneroka kehilangan punca pendapatan kerana tanah mereka tidak lagi sesuai untuk pertanian dan aktiviti perlombongan (bauksit) pula tidak dibenarkan bersambung semula secara meluas.
“Kerajaan negeri juga telah melantik beberapa agensi untuk turut serta menilai hasil bauksit di Bukit Goh sebenarnya,” ujarnya.
Beliau berkata, penilaian itu bagi melihat berapa hasil yang boleh dikeluarkan dan berapa untuk dikembalikan semula kepada peneroka.
“Ini yang telah pun kita beri jaminan agar peneroka-peneroka dapat bekerjasama dan untuk makluman, salah satu isu yang perlu kita hadapi ada antara peneroka ini telah mendahului maksudnya membuat perjanjian dengan pihak tertentu.
“Sepatutnya sewaktu itu kita telah pun beritahu kepada peneroka supaya bersabar sedikit untuk kita berikan kata putus hala tuju yang sebenarnya,” katanya.






