
KUCHING – Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 disifatkan sebagai langkah strategik yang bakal memperkukuh jaminan keselamatan makanan negeri serta memodenkan sektor pertanian secara menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Datuk Dennis Ngau berkata, Rang Undang-Undang (RUU) itu merupakan pendekatan berpandangan jauh bagi memacu pembangunan industri padi dan beras Sarawak untuk jangka masa panjang.
“Penubuhan lembaga ini bukan sekadar inisiatif pertanian, tetapi langkah penting dalam membina kekuatan negeri dari segi keselamatan makanan dan pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dennis menjelaskan lembaga khas itu akan bertindak sebagai badan penyelaras utama yang menghubungkan keseluruhan rantaian industri merangkumi perancangan kawasan penanaman, infrastruktur pengairan, mekanisasi moden, pengurusan input pertanian, sehinggalah ke peringkat pemprosesan dan pemasaran.
Menurutnya, dengan keluasan tanah yang subur serta sumber air mencukupi, Sarawak berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hab penanaman padi moden dan komersial.
“Saya yakin melalui perancangan rapi, penggunaan teknologi moden dan sistem pengurusan yang cekap, Sarawak mampu mencapai tahap sara diri beras pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar kajian kebolehlaksanaan dilaksanakan di beberapa kawasan berpotensi di Telang Usan dan Baram seperti Apoh, Ulu Tinjar dan Baram Tengah untuk projek penanaman berskala besar.
Tambahnya, varieti padi tradisional bernilai tinggi seperti beras Bario bukan sahaja melambangkan warisan tempatan, malah amat berpotensi dikembangkan sebagai produk premium yang berdaya saing di pasaran.
Menyentuh mengenai penglibatan generasi baharu, Dennis menegaskan persepsi bahawa pertanian adalah sektor tradisional perlu diubah segera dengan memfokuskan kepada mekanisasi dan data pertanian pintar.
“Hanya apabila industri ini dimodenkan, berteknologi tinggi dan mampu menjana pendapatan lumayan, barulah kita dapat menarik minat generasi muda untuk bergelar agropreneur moden selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030,” jelasnya.
Beliau optimis sekiranya pelan tersebut dilaksanakan dengan berkesan, Sarawak tidak hanya mampu membasmi kemiskinan dan mencapai tahap sara diri, malah berpotensi muncul sebagai pengeksport beras berkualiti tinggi di peringkat serantau.
Foto: Facebook Dennis Ngau






