
KUCHING – Tindakan tiga lelaki cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis mengundang padah apabila seorang daripadanya ditahan selepas insiden kejar-mengejar di Jalan Hui Sing pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata , penahanan itu turut mengesahkan satu video berdurasi 46 saat yang tular di laman Facebook menerusi akaun ’Sarawak Awareness Group’.
Video yang dimuat naik pada Isnin itu memaparkan seorang lelaki ditahan oleh pihak berkuasa yang dipercayai terlibat dalam kejadian jenayah.
Menurut beliau, insiden bermula sekitar jam 5.30 petang pada 8 Mei apabila anggota polis yang sedang melakukan tugasan rondaan cegah jenayah cuba menahan sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Pemandu kenderaan tersebut enggan memberikan kerjasama dan bertindak melarikan diri.
“Hasil kejar-mengejar, pihak polis berjaya menahan kenderaan tersebut manakala dua lelaki iaitu pemandu dan penumpang hadapan telah berjaya melarikan diri dengan meninggalkan seorang lelaki di bahagian penumpang belakang yang kemudiannya berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Mengulas lanjut berhubung penahanan tersebut, Alexson memaklumkan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek mendapati tiada sebarang barang yang menyalahi undang-undang dijumpai.
Selain itu, semakan lanjut mendapati suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan hasil saringan ujian air kencing juga didapati negatif.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444,” ujarnya.








