
KUANTAN – Pas dilihat makin kehabisan idea apabila meniru slogan ‘Aku Budak UMNO’ yang diperkenalkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Akmal Saleh semasa konvensyen parti itu baru-baru ini.
Berdasarkan poster yang tersebar di laman sosial TikTok, pemimpin Pas dari Pulau Pinang berkongsi hantaran dengan mempamerkan poster bertulis ‘Aku Budak Pas’.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, tindakan pimpinan muda Pas itu disifatkan sebagai ‘kekeringan idea’ dan menunjukkan parti itu cuba mengelirukan orang ramai.
“Mereka cuma tukar nama parti saja… yang lain (asalnya) idea UMNO.
“Bagi saya ini tindakan terdesak dan menunjukkan parti Pas sanggup melakukan apa saja untuk menunjukkan mereka masih menjadi pilihan rakyat,” katanya kepada The Malaysia Press.
Difahamkan kempen Pas itu bukan hanya dibuat oleh pemimpin dan ahli Pas di Pulau Pinang, tapi turut dilakukan ahli mereka di negeri lain.
Razak dalam pada itu menasihati ahli UMNO supaya lebih bijak menilai dan menerangkan taktik terbaharu digunakan Pas itu.
Jelasnya, perkara berkenaan sangat penting untuk memastikan tidak timbul kekeliruan mengenai kempen yang sebenarnya dimulakan UMNO.
“Kita lihat apa sahaja yang UMNO buat, mereka akan ‘claim’ kononnya mereka yang terlebih dahulu buat.
“Perkara ini tidak beretika dan perlu dihentikan kerana ia menggambarkan parti itu tidak ada daya pemikiran sendiri,” jelasnya.




