
PAS disaran menilai semula rekod serta pendirian parti itu dalam beberapa isu membabitkan institusi diraja sebelum menuduh pihak lain sebagai derhaka kepada Raja-Raja Melayu.
Pemerhati politik, Ahmad Mursi berkata, cubaan segelintir pemimpin Pas menggambarkan teguran Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai berpunca daripada tindakan derhaka adalah tidak tepat kerana perkara dibangkitkan sebenarnya berkaitan isu pentadbiran yang boleh diselesaikan secara tertib.
Beliau berkata, isu berkaitan penternakan babi misalnya pernah berlaku ketika Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menjadi Menteri Besar Terengganu.
“Haji Hadi semasa menjadi MB, antara polisi yang dibuat pada tahun 2001 ialah membenarkan semula penternakan babi walhal populasi bukan Islam hanya 3 peratus di Terengganu.
“Sejak 1990, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membuat larangan.
“Kata Haji Hadi waktu itu, ‘Penternakan khinzir merupakan hak orang bukan Islam’.
“Walaun pula memuji betapa toleransinya ‘pemerintahan Islam’ waktu itu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut Ahmad Mursi, isu pentadbiran seperti itu sewajarnya diuruskan secara baik melalui saluran rasmi kerajaan dan institusi diraja.
“Sebab itu, isu pentadbiran seperti itu perlu diurus dengan baik dan PMX secara tertib mempersembahkan maklum kepada pihak Istana berkenaan hal itu,” katanya.
Beliau berkata, isu eksport pasir pula bukan perkara baharu kerana dasar berkaitan sekatan eksport pasir laut dan kawalan eksport pasir sungai menerusi lesen import sudah dilaksanakan sejak pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Isu pasir pula ialah isu legasi, di mana kerajaan Tun M telah mula menyekat eksport pasir laut dan mengawal eksport pasir sungai melalui lesen import.
“Polisi itu kekal sejak 2019 hingga kini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, teguran pihak istana terhadap beberapa pemimpin Pas sebelum ini lebih serius kerana membabitkan dakwaan penghinaan serta tindakan mempertikai kuasa Raja-Raja Melayu.
Katanya, antara pemimpin yang pernah menerima teguran ialah Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Abdul Hadi dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Antaranya, Agong (Sultan Pahang) murka kepada Takiyuddin, manakala Sultan Selangor murka kepada Haji Hadi dan Sanusi,” katanya.
Beliau merujuk kepada insiden pada 2021 ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) apabila Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita susulan pengumuman pembatalan ordinan darurat di Parlimen.
“Semasa Kerajaan Tebuk Atap pada tahun 2021, Agong mengarahkan ordinan darurat dibentang dan dibahas di Parlimen.
“Namun, Takiyuddin mengumumkan semua ordinan darurat dibatalkan walhal belum mendapat perkenan Agong.
“Agong murka dan menyatakan baginda ‘amat berdukacita’ serta menganggap tindakan itu mengelirukan Dewan,” katanya.
Ahmad Mursi turut mendakwa Sultan Selangor pernah murka terhadap Sanusi kerana didakwa memperlekeh institusi Kesultanan Selangor.
“Sultan Selangor murka terhadap Sanusi kerana memperlekeh institusi Kesultanan Selangor yang dibandingkannya dengan Kesultanan Kedah.
“Sebab itu MB yang dilantik di Selangor katanya ‘cokia’ tidak seperti dirinya di Kedah,” katanya.
Beliau turut menyentuh kenyataan Abdul Hadi berkaitan kes Nik Elin di Mahkamah Persekutuan pada tahun lalu.
“Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI murka kerana Haji Hadi mengelirukan orang awam dalam kes Nik Elin (2024) di Mahkamah Persekutuan dengan mengkritik Raja-Raja Melayu serta menggambarkan mereka sebagai tiada wawasan akhirat dan mengejar kepentingan dunia dalam hal menjaga kepentingan Islam dalam Perlembagaan,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Mursi berkata, Pas tidak seharusnya terlalu mudah memainkan naratif derhaka terhadap pihak lawan politik tanpa melihat sejarah serta tindakan pemimpin parti itu sendiri.
“Banyak lagi isu pertembungan Istana dan Pas melibatkan perkara yang tidak sepatutnya disentuh.
“Jadi, sebelum Pas mula berkempen menuduh pihak lain derhaka, eloklah cermin diri dulu,” katanya.







