
LAHAD DATU – Dua penagih warga Filipina yang membawa 35 batang kayu bergergaji menggunakan vesel dipercayai dicuri di tahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Lahad Datu dekat perairan Kunak, awal pagi Sabtu.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan itu dilakukan hasil maklumat risikan kira-kira pukul 5.00 pagi di kedudukan 0.3 batu nautika barat daya Jeti Pangkalan Kunak dalam Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0.
“Vesel berwarna merah itu dikesan dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati 35 batang kayu bergergaji terapung yang diikat bersama vesel dipercayai dicuri dari kawasan Pulau Timbun Mata.
“Vesel dikendalikan dua lelaki berumur 51 dan 33 tahun itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah selain positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” ujarnya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
Kes disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 / Enakmen Hutan 1968 Sabah kerana memiliki kayu bergergaji tanpa kebenaran yang sah, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tegas Dzulfikhar , Maritim Malaysia tidak berkompromi terhadap sebarang pencerobohan sumber hutan dan aktiviti jenayah maritim di perairan negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Lahad Datu menerusi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera, ” kongsinya.







