
TAWAU – Perancangan proaktif kerajaan dengan pembinaan empat pos kawalan baharu khusus di Pulau Sebatik akan memperkukuhkan lagi tahap keselamatan sempadan negara Malaysia-Indonesia.
Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi berkata, keempat-empat projek itu kini dalam peringkat perancangan, perolehan tanah dan proses tender.
“Satu pos akan didiami anggota Angkatan Tentera Malaysia atau tentera darat, satu pos oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), pos ketiga gabungan PGA dan tentera darat dan satu lagi adalah pos gabungan ATM dan Tentera Nasional Indonesia.
“Dengan adanya kerjasama semua agensi iaitu PGA dan tentera Nasional Indonesia, kita yakin kawalan keselamatan dapat dipertingkatkan dan lebih teratur, “katanya kepada media selepas menyempurnakan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026 di SK Bergosong, Pulau Sebatik, pada Khamis.

Mengenai kawalan keselamatan semasa di sempadan Pulau Sebatik Malaysia-Indonesia selepas persempadanan semula, beliau berkata, pihaknya komited memastikan persempadanan negara sentiasa terjamin.
“Hubungan baik kita dan Tentera Nasional Indonesia juga berhasil menjalankan pelbagai aktiviti sempadan bersama-sama termasuklah rondaan bersama selain lawatan timbal balas bagi mengeratkan hubungan kedua-duanya.
“Kita bersama-sama menjaga keselamatan kedua-dua negara dan menjaga sempadan daripada aktiviti penyeludupan, pemerdagangan manusia serta aktiviti rentas sempadan lain,” ujarnya.

Menurut Mohd Sofi, selain penugasan anggota tentera di kawasan sempadan, ATM turut memperkukuh aspek pertahanan menerusi pelbagai elemen keselamatan lain termasuk bahagian keselamatan siber.
“Kita juga ada Bahagian Keselamatan Siber dimana ia memberi tumpuan kepada aspek peperangan elektronik (electronic warfare) dan dianggotai pakar-pakar yang memainkan peranan penting dalam membantu mendapatkan maklumat risikan.
“Ia juga mempertahankan peralatan dan sistem pengesanan yang digunakan di kawasan sempadan,” ujarnya.

Berkenaan PSPN itu, Mohd Sofi berkata, ia merupakan program yang pertama dilaksanakan pada tahun ini daripada 9 program dan 39 aktiviti yang dirancangkan bagi Sabah dan Sarawak.
Sepanjang program itu, pihaknya melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat terus kepada masyarakat Kg Bergosong dan sekitar termasuklah Perkhidmatan Medical Civic Action Program (MEDCAP) dan Dental Civic Action Program (DENCAP), penyerahan ‘Kotak Rezeki’ kepada 20 penerima serta sumbangan karpet untuk surau sekolah SK Bergosong.
Turut diadakan Program Jualan Rahmah MADANi dengan kerjasama KPDN bagi membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk setempat.






