SEREMBAN – Kerajaan Perpaduan yang dibentuk antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berteraskan tiga prinsip utama iaitu kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berpegang kepada prinsip itu, kestabilan politik terpelihara hingga kini apabila tiada pertukaran Perdana Menteri dalam satu penggal, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menerajui negara dalam tempoh tiga tahun ini.
Menurutnya, ketika negara berdepan krisis global akibat konflik Asia Barat, keadaan itu turut menyebabkan negara berhadapan krisis tenaga susulan 60 peratus bekalan minyak mentah perlu melalui Selat Hormuz.
“Keadaan ini menyebabkan kos kapal dan insurans meningkat, namun kerajaan tetap berusaha mengekalkan harga minyak pada kadar RM1.99 demi kepentingan rakyat.
“Ia bukan keputusan mudah, namun kerajaan terus berikhtiar memastikan bekalan mencukupi dan harga kekal terkawal. Dalam keadaan itu, berlaku isu kestabilan politik di negeri sembilan, itu kita rasa terkilan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ceramah perdana pimpinan utama PH di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Rabu.
Turut hadir Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; dan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kejutan yang berlaku di Negeri Sembilan mempunyai banyak hikmah, antaranya mengajar bahawa politik perlu bermula dengan membina kekuatan parti sendiri.
“Kita tidak berjaya hanya kerana lawan lemah, sebaliknya kita kuat dengan kekuatan sendiri. Kita juga perlu menerima hakikat bahawa tiada parti dominan mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.
“Era politik lama berasaskan ‘kita lawan mereka’ perlu diubah kepada pendekatan lebih inklusif. Dalam suasana ini, politik ‘us versus them’ perlu digantikan dengan ‘we are together’,” katanya.






