
BRISTOL – Sarawak melalui anak syarikat milik penuh kerajaan negeri, SMD Semiconductor, bakal meneroka kerjasama dengan rakan kongsi di United Kingdom (UK) bagi mereka bentuk sistem dan cip semikonduktor bertaraf satelit.
Menerusi kerjasama itu, Sarawak juga merancang melancarkan satelit pertamanya sendiri.
Langkah ini menandakan anjakan besar dalam cita-cita negeri berkenaan untuk muncul sebagai pemain bernilai tinggi dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa, serta teknologi angkasa lepas pada peringkat global.
Inisiatif tersebut dijangka menyokong fokus Sarawak terhadap penggunaan satelit, analisis data, dan aplikasi hiliran yang memberi impak kepada dunia nyata.
Ia secara khusus memfokuskan kepada bidang berkaitan iklim seperti perhutanan, pemerhatian bumi, pengurusan bencana, penjejakan karbon, dan pemantauan maritim.
Selain itu, ia akan mengukuhkan lagi keupayaan data kritikal dan infrastruktur telekomunikasi negeri, termasuk memperluas akses internet berkelajuan tinggi dan berlatensi rendah ke kawasan pedalaman dan kawasan yang kurang mendapat liputan.
Pengumuman bersejarah ini dibuat oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Sesi Libat Urus Semikonduktor Sarawak. Sesi tersebut dihoskan bersama oleh SMD Semiconductor dan Universiti Bristol bertempat di Pusat Komposit Nasional (NCC), Bristol and Bath Science Park, UK.
Pertemuan peringkat tinggi itu berjaya menghimpunkan lebih 80 penggubal dasar, penyelidik, dan pakar industri dari UK bagi memperkukuh kolaborasi strategik dalam semikonduktor, aeroangkasa, teknologi angkasa lepas, dan sistem berpacukan data.
Menurut Abang Johari, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada dorongan meluas Sarawak ke arah industri termaju yang dipacu oleh inovasi, dengan semikonduktor bertindak sebagai pemboleh ubah utama merentas pelbagai sektor berimpak tinggi.
“Teknologi ini menjadi asas kepada keupayaan data penting yang memacu ketersambungan dan aplikasi dunia nyata, terutama dalam memperluas akses berkelajuan tinggi dan berlatensi rendah kepada kawasan pedalaman dan kurang mendapat liputan,” kata beliau.
Turut hadir Datuk Bandar West of England Combined Authority (WECA), Helen Godwin; Naib Canselor dan Presiden Universiti Bristol, Profesor Evelyn Welch; Pengarah di Pejabat Pelaburan UK, John Edwards; serta pemain industri utama UK seperti Rolls Royce, GKN Aerospace, Nexperia, Space West, CFMS, dan Sora Aviation.
Delegasi Malaysia dan Sarawak pula menampilkan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Zakri Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Kemuncak program ini adalah sesi libat urus strategik bertemakan ‘Semiconductors Enabling Future Technology’ yang dipengerusikan bersama oleh Pengarah Akademik Universiti Bristol (REWIRE), Profesor Martin Kuball, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMD Semiconductor, Shariman Jamil.
Dalam lawatan tersebut, delegasi Sarawak turut meninjau fasiliti superkomputer Isambard-AI bagi mendapatkan pendedahan tentang bagaimana pengkomputeran berprestasi tinggi dan kecerdasan buatan (AI) mempercepatkan penemuan saintifik dan perindustrian. Pengetahuan ini diharap dapat diadaptasi dan dibangunkan di Sarawak.
Sementara itu, Pengerusi SMD Semiconductor, Datuk Seri Wan Lizozman Wan Omar menegaskan pembinaan keupayaan dalam industri termaju tidak boleh dilakukan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama antarabangsa yang erat.
“Kerjasama dengan institusi seperti Universiti Bristol membolehkan Sarawak mempercepat pembangunan kapasiti, mendapatkan kepakaran teknikal, dan melangkah dengan lebih berkesan ke dalam segmen bernilai tinggi dalam ekosistem teknologi global,” ujarnya.





