
SANDAKAN – Penstrukturan semula bahagian Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dicadangkan tidak akan menjejaskan sokongan dalam kalangan ahli, sebaliknya dilihat sebagai usaha memperkasakan parti.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, langkah mengecilkan bahagian Pemuda itu menerima maklum balas positif daripada kepimpinan pelbagai peringkat termasuk sayap pemuda, wanita, beliawanis serta bahagian parti.
“Penstrukturan semula ini merupakan sebahagian daripada pindaan perlembagaan parti yang bertujuan memperkukuh organisasi dan mempersiapkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
“Ia juga selaras dengan perancangan parti untuk bertanding di 25 kerusi Parlimen, sekali gus memerlukan struktur pentadbiran yang lebih tersusun dan efektif.
“Cadangan berkenaan akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Agung Khas (EGM) yang dijadualkan berlangsung pada 17 Mei depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Jelajah Pemuda Gagasan Rakyat, di Pavilion Hotel, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Azrul berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya pendaftaran keahlian parti dilaksanakan secara dalam talian bagi memudahkan golongan muda menyertai Gagasan Rakyat.
“Cadangan akan dikemukakan secara rasmi kepada kepimpinan parti memandangkan sambutan dalam kalangan belia dan wanita amat menggalakkan.
“Kita melihat keperluan untuk memperluas kaedah pendaftaran secara dalam talian supaya lebih ramai golongan muda dapat menjadi ahli dengan mudah.
“Setakat ini, sambutan di peringkat akar umbi amat positif, namun jumlah keahlian terkini akan disahkan kemudian bersama Setiausaha Agung,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jelajah Pemuda Gagasan Rakyat yang sedang dilaksanakan bertujuan menyampaikan perkembangan terkini parti serta meningkatkan semangat kepimpinan di peringkat akar umbi.
“Antara agenda utama jelajah adalah untuk memberi penjelasan mengenai EGM parti yang akan mengabsahkan beberapa pindaan perlembagaan termasuk penstrukturan bahagian.
“Langkah ini penting bagi memastikan jentera parti di semua peringkat bersedia lebih awal untuk menghadapi PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Kita mahu pemuda menjadi tulang belakang dan ‘hulubalang’ parti yang sentiasa bersiap siaga serta menjadi peneraju kepada perubahan dalam parti,” katanya.
Azrul berkata, setakat ini jelajah berkenaan telah dilaksanakan di 45 bahagian dan akan diteruskan ke baki kawasan lain.
Di Sandakan, jelajah tersebut melibatkan tujuh bahagian iaitu Sekong, Karamunting, Sungai (Sg) Manila, Sg Sibuga, Gum-Gum, Elopura dan Tanjung Papat.




