
KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus mengorak langkah dalam pembangunan modal insan apabila diiktiraf sebagai Pusat Latihan dan Peperiksaan Kursus Kekompetenan Gas dan Elektrik, sekali gus memperkukuh sektor utiliti di Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, pengiktirafan itu mencerminkan peranan strategik institusi pendidikan tinggi tempatan dalam menyokong pembangunan sektor tenaga negeri.
Menurut beliau, sektor gas dan elektrik bukan sahaja penting sebagai bekalan utiliti, malah menjadi aset strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kemasukan pelaburan serta kesejahteraan rakyat.
“Gas tidak boleh dilihat sekadar sumber ekonomi, sebaliknya merupakan aset strategik yang berkait rapat dengan pembangunan industri dan utiliti.
Justeru, pengurusan sektor ini memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta pematuhan ketat terhadap piawaian keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi bagi Mengiktiraf UNIMAS sebagai pusat latihan berkenaan.
Tambahnya, sektor elektrik turut memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan negeri, terutama dalam era peralihan tenaga global yang memberi penekanan kepada sumber tenaga boleh baharu seperti solar.
Dalam pada itu, Julaihi menjelaskan bahawa usaha memperkukuh bidang kekompetenan gas dan elektrik selari dengan aspirasi Post-Covid Development Strategy 2030 (PCDS 2030) yang menitikberatkan pembangunan utiliti dan modal insan.
Katanya, kerajaan negeri telah menyediakan kerangka kawal selia yang tersusun melalui Distribution of Gas Ordinance 2016 bagi memastikan sektor gas diurus secara selamat, sistematik dan profesional.
“Pendekatan ini melibatkan aspek pelesenan, pensijilan kompetensi serta penguatkuasaan keselamatan bagi memastikan hanya individu yang layak terlibat dalam sektor ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata hala tuju pembangunan tenaga Sarawak turut dipacu melalui Sarawak Gas Roadmap yang memberi fokus kepada penggunaan gas domestik, pembangunan infrastruktur serta aktiviti nilai tambah.
Pada masa sama, Sarawak kini giat memperluas penggunaan tenaga boleh baharu termasuk solar dan hidrogen, selain memperkukuh sistem grid elektrik bagi memastikan bekalan yang stabil dan berdaya tahan.
Dalam konteks itu, peranan UNIMAS disifatkan amat penting sebagai rakan strategik kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.
“Pengiktirafan ini membuka ruang lebih luas untuk melatih dan memperakui tenaga profesional tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran luar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan dan industri mampu mewujudkan ekosistem pembangunan tenaga yang mampan dan berdaya saing.
Di samping itu, Julaihi yakin pengiktirafan tersebut akan memberi impak besar kepada pembangunan sektor gas dan elektrik di Sarawak, khususnya dari aspek keselamatan, kompetensi serta kesiapsiagaan tenaga kerja.
“Tahniah kepada UNIMAS dan semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan pengiktirafan ini,” katanya.





