PMX akan hubungi pemimpin luar, usaha bebaskan 10 rakyat Malaysia ditahan Zionis

RAWANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan menghubungi beberapa pemimpin negara sahabat bagi mendapatkan tekanan diplomatik terhadap Israel, susulan penahanan 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Beliau menegaskan usaha diplomasi akan digerakkan secara maksimum melalui Kementerian Luar serta rangkaian negara sahabat, khususnya di rantau Timur Tengah.

“Kita sekarang tengah ambil apa juga ikhtiar, hubungi sahabat-sahabat kita di negara Teluk, negara Arab untuk cari jalan lepaskan mereka (10 rakyat Malaysia ) daripada tahanan Zionis.

“Saya hubungi Kementerian Luar dan juga hubungi negara sahabat (lain) yang boleh saya hubungi, saya akan hubungi Insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman di sini, hari ini.

Dalam masa sama, beliau mengecam tindakan rejim Zionis yang disifatkan sebagai keterlaluan kerana menahan peserta misi kemanusiaan yang membawa bantuan ke Gaza.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya terus mendoakan keselamatan semua aktivis yang terlibat dalam misi berkenaan.

“Pertama, tentunya kita doakan keselamatan bukan saja buat rakyat Malaysia tapi rakyat yang terbabit dalam penahanan oleh rejim Zionis. Kebanyakan mereka itu ditahan di perairan antarabangsa. Itu satu kerja gila yang tidak menghormati langsung prinsip.

“Kedua, yang selamat itu ada yang terpaksa beralih masuk ke lautan kawasan Greece dan di situ dijamin oleh kerajaan, tentera laut Greece. Ini bukan langgar kawasan Israel lagi kerana masih dalam kawasan (perairan) antarabangsa.

“Demikian kezaliman yang berterusan. Dia (Israel) tak puas hati dengan bunuh wanita dan kanak-kanak. Dia tak puas hati serang Iran, Lubnan, Gaza dan sekarang (tak puas dengan) orang-orang yang nak bantu bukan bawa senjata tapi makanan, minuman, ubat-ubatan dan beberapa kelengkapan (lain seperti) pakaian,” katanya.

Sementara itu, lebih 30 jam selepas kejadian, belum ada perkembangan rasmi berhubung status 10 rakyat Malaysia yang ditahan, selain nasib keseluruhan 186 aktivis lain yang terlibat masih belum diketahui.

Difahamkan, semua 10 rakyat Malaysia itu berada di atas lima kapal berasingan sebelum komunikasi terputus selepas dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa.

Antara yang dilaporkan ditahan ialah pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III; Mohd Hanafi Mohd Salim (Bianca BCN), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Bianca BCN), Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN), Hazwan Hazim Dermawan (Bianca BCN).

Turut ditahan, Osman Zolkifli (Eros 1), Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai II), Mohd Redzal Amzah (Freia) dan Muhamad Muhsin Zaidi (Marea).

Sumud Nusantara Command Center (SNCC) sebelum ini mengesahkan 10 rakyat Malaysia tersebut merupakan sebahagian daripada 186 aktivis yang terputus hubungan dalam misi GSF pada hari ke-18 pelayaran.

Sebanyak 22 daripada 63 kapal misi itu dilaporkan dipintas oleh pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean berhampiran Kepulauan Crete, Greece.

Related Posts

Kerajaan teliti penambahbaikan subsidi diesel Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU – Kerajaan meneliti penambahbaikan terhadap pelaksanaan subsidi diesel susulan maklum balas daripada pelbagai pihak, khususnya di Sabah dan Sarawak. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar lancar avatar AI, mahu rakyat kongsi aspirasi secara terus di WhatsApp

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan avatar kecerdasan buatan (AI) sebagai medium baharu untuk berinteraksi dengan rakyat, sekali gus memperluas ruang komunikasi bagi mendengar pandangan, kebimbangan dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hadis Sahih al-Bukhari benteng ajaran sesat, fahaman ekstrem

Hadis Sahih al-Bukhari benteng ajaran sesat, fahaman ekstrem

Sabah perkasa pelbagai inisiatif tangani kes remaja bawah umur

Sabah perkasa pelbagai inisiatif tangani kes remaja bawah umur

Kerajaan teliti penambahbaikan subsidi diesel Sabah, Sarawak

Kerajaan teliti penambahbaikan subsidi diesel Sabah, Sarawak

Anwar lancar avatar AI, mahu rakyat kongsi aspirasi secara terus di WhatsApp

Anwar lancar avatar AI, mahu rakyat kongsi aspirasi secara terus di WhatsApp

Parti pertaruh gabungan pengalaman, muka baharu di PRN Negeri Sembilan

Parti pertaruh gabungan pengalaman, muka baharu di PRN Negeri Sembilan

Kerajaan lulus kuota diesel 300 liter sebulan untuk syarikat kecil, kontraktor tempatan

Kerajaan lulus kuota diesel 300 liter sebulan untuk syarikat kecil, kontraktor tempatan