
TAWAU – Satu inisiatif menyeluruh daripada kerajaan termasuk penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta digesa menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan terutamanya dalam bidang kemahiran.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, usaha tersebut penting agar tenaga kerja yang dilahirkan berkemahiran tinggi.
“Setiap tahun jumlah graduan meningkat, namun peluang pekerjaan yang ditawarkan tidak setara sehingga menyumbang kepada kadar pengangguran.
“Situasi itu menyebabkan ramai graduan khususnya dari Sabah, terpaksa berhijrah ke luar daerah atau negeri bagi mencari pekerjaan yang lebih baik, ” ujarnya kepada media pada Program Kembara Lestari anjuran Yayasan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Kolej Vokasional Tawau, pada Khamis.
Mengenai program itu, Suryady menyifatkan usaha berkenaan penting bagi memastikan pelajar luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan pendidikan dan teknologi semasa.
Beliau turut memuji inisiatif Yayasan UMPSA yang membawa program berasaskan pembelajaran dan pengalaman praktikal berteraskan STEM tersebut.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Prof Ts Dr. Yatimah Alias berkata, UMPSA memberi penekanan kepada pendidikan TVET termaju yang merangkumi bidang seperti automotif, kecerdasan buatan (AI), robotik serta teknologi kejuruteraan lain yang selari dengan keperluan industri.
“Pendedahan ini penting untuk memastikan pelajar mempunyai laluan jelas untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta memenuhi keperluan tenaga kerja mahir negara.
“Kerjasama strategik antara UMPSA dan institusi pendidikan vokasional di Sabah mampu membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang berkaitan, ” ujarnya.
Difahamkan, program berkenaan melibatkan 25 sukarelawan terdiri daripada pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan universiti yang berkongsi kepakaran masing-masing.





