
KOTA KINABALU – Projek Skim Bekalan Air Lahad Datu (Fasa 1) yang merangkumi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu berkapasiti 60 juta liter sehari (JLH) dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,960 penduduk setempat.
Menteri Kerja Raya dan Utiliti (KKRU), Datuk Joachim Gunsalam berkata, projek menaik taraf sistem bekalan air itu dijangka akan meningkatkan kecekapan operasi, kapasiti pengeluaran serta keupayaan sistem bekalan air secara menyeluruh.
“Pelaksanaannya akan memberi manfaat kepada kira-kira 230,960 penduduk serta sektor industri di daerah Lahad Datu.
“Di samping memperluas liputan dan menambah baik tahap perkhidmatan bekalan air,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Segama, Muhammad Bin Abdul Karim di Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Sabah ke-17, di sini pada Khamis.
Jelasnya, antara kawasan yang akan mendapat manfaat daripada projek ini merangkumi Jalan Segama, Jalan Bakawali, Taman CL, Kampung Damai, Kimbell, Jalan Dam, Taman Executive, Taman Lily, Jalan Agaseh, Jalan Tengah Nipah, Kampung Sabah Baru PRKT 1, Jalan Kastam Baru, POIC serta keseluruhan kawasan bandar Lahad Datu.
Joachim berkata, ketika ini ini projek tersebut kini berada dalam fasa pelaksanaan dengan kemajuan fizikal sebanyak 91.66% dan dijangka siap pada 10 Julai 2027.




