KUALA LUMPUR – Tidak timbul isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan setakat ini, susulan penarikan sokongan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, berdasarkan nasihat diberikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, baginda meminta pentadbiran diteruskan sementara proses yang lain dijalankan mengikut undang-undang.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, ruang perlu diberikan untuk semua pihak berunding dengan baik membabitkan keputusan yang akan dibuat berdasarkan sistem perundangan Negeri Sembilan.
“Setakat ini tidak timbul lagi isu bubar. Yang setakat saya bincang, minta pandangan, nasihat Tuanku, baginda minta jalan terus sementara proses yang lain itu dijalankan ikut undang-undang.
“Saya tak boleh bagi satu tarikh kerana wajar kita beri ruang untuk semua pihak berunding dengan baik kerana keputusan dibuat bagi yang memahami sistem perundangan Negeri Sembilan itu, umpamanya pelantikan Menteri Besar. Itu bersama empat Undang.
“Kalau kita ambil keputusan pelantikan itu dengan empat Undang, pengunduranpun begitu juga. Jadi dia tidak semudah yang dibayangkan,” katanya kepada media selepas majlis Temu Anwar dan majlis peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI, pada Selasa.
Terdahulu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, Negeri Sembilan tidak dijangka mengadakan pilihan raya negeri di tengah-tengah kemelut pemerintahan yang berlaku ketika ini, namun perkara itu bergantung kepada keputusan Tuanku Muhriz serta persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sementara itu, Anwar berkata, isu membabitkan institusi Diraja harus ditangani dengan berhemah, bijak dan menjaga kemuliaan sistem Raja.
Atas dasar itu katanya, isu Perlembagaan itu perlu diputuskan mengikut lunas undang-undang selain mengelak daripada kenyataan bertentangan.
“Sekali lagi saya tegaskan bagi pihak kita, saya tegaskan perlu menjaga kedudukan dan kemuliaan institusi Raja kerana ini satu sistem yang sudah kita terima pakai.
“Dalam hal ini menteri besar menerima titah Tuanku untuk meneruskan tugas demi kepentingan negeri dan kebajikan rakyat sehingga isu berkaitan dengan Perlembagaan negeri itu diuruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, krisis pentadbiran yang berlaku di Negeri Sembilan tidak mewujudkan implikasi lain termasuk menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Malah, Perdana Menteri menegaskan, beliau juga dijangka bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini untuk membincangkan mengenai perkembangan di Negeri Sembilan itu.
“Mungkin hari ini (jumpa Ahmad Zahid) sebab semalam selepas acara majlis saya ke Istana,” katanya.
Ketika ditanya sama ada tindakan BN itu adalah isyarat bagi gabungan terbabit untuk bergerak solo, Anwar bagaimanapun menjelaskan ia hanya bersifat andaian.
“Janganlah buat banyak andaian dalam politik ini, tidak perlu andaian,” katanya.




