
JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengadakan perbincangan berhubung senarai nama calon baharu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Beliau berkata perbincangan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah diadakan pagi tadi.
“Nanti saya akan umumkan kemudian (nama Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu) nanti.
“Saya sudah mengadakan perbincangan Tuanku (Sultan Ibrahim) tadi,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas majlis makan tengah hari di Pasar Tani Kekal Permas Jaya di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Semalam, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titahnya kepada Royal Press Office seperti dikongsikan di akaun Facebook rasmi baginda.
Justeru, baginda bertitah dan menegaskan, tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara berkenaan.
Ditanya mengenai nama-nama calon yang diserahkan kepada Sultan Ibrahim, Anwar enggan mengulas mengenai pertanyaan tersebut.
“Nama yang layak ada 120 (orang calon),” katanya secara berseloroh.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu juga sempat beramah mesra bersama komuniti tempatan di Permas Jaya, sebelum menunaikan Solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya.
Solat disertai lebih 1,500 jemaah, termasuk Onn Hafiz yang mengiringi Perdana Menteri.



