KUALA LUMPUR- Pembanterasan rasuah dan salah guna kuasa memerlukan sistem yang telus serta kepimpinan yang tegas, bukan sekadar bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, prinsip bahawa jawatan bukan satu keistimewaan perlu dihayati bagi memastikan setiap tanggungjawab dipikul dengan integriti tinggi.
Menurut beliau, integriti perlu diperkukuh melalui budaya kerja yang menjunjung akauntabiliti bagi memastikan setiap tindakan dan keputusan dibuat secara bertanggungjawab.
“Integriti tidak boleh bergantung semata-mata kepada peraturan dan penguatkuasaan tetapi mesti diperkukuh melalui sistem yang telus, kepimpinan yang tegas dan budaya kerja yang menjunjung akauntabiliti.
“Setiap jawatan yang disandang bukanlah untuk dibanggakan tetapi merupakan tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti, kejujuran dan keikhlasan.
“Ini memberi pengajaran penting bahawa integriti tidak boleh bergantung semata-mata kepada peraturan dan penguatkuasaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) Ke-22 di Menara Integriti, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai reformasi bagi memperkukuh tadbir urus termasuk menambah baik sistem perolehan dan memperluas pendigitalan perkhidmatan awam.
Beliau yang juga yang juga Pengerusi IIM memaklumkan, langkah itu penting bagi mengurangkan ruang ketirisan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Pelbagai langkah telah diambil seperti memperkukuh tatakelola kewangan awam dan disiplin perbelanjaan, selain menambah baik sistem perolehan kerajaan agar lebih telus dan kompetitif.
“Terkini, Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) merupakan inisiatif baharu yang sedang dibangunkan bagi memperkukuh agenda integriti negara secara lebih menyeluruh, moden dan berterusan,” katanya.



