PUTRAJAYA – Kerajaan sedang memperhalusi kesan gangguan bekalan bahan petrokimia terhadap rantaian bekalan, khususnya sektor pembungkusan barangan keperluan harian, susulan penutupan Selat Hormuz.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan kini dalam penelitian lanjut oleh kementerian berkaitan.
Beliau berkata, Kementerian Ekonomi serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang menjalankan analisis terperinci berhubung kesan gangguan tersebut kepada pelbagai sektor industri.
“Kerajaan menyedari gangguan terhadap bekalan bahan petrokimia bukan sahaja membabitkan plastik, malah menjejaskan pengeluaran bahan asas lain seperti ammonia, urea dan helium yang digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor industri.
“Kerajaan cakna, faham dan prihatin terhadap kesan kepada rantaian bekalan akibat penutupan Selat Hormuz, beberapa penelitian tambahan masih perlu dilaksanakan dan dapatan berkenaan dijangka dibincangkan semula dalam mesyuarat (MTEN) minggu depan,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Mengulas langkah awal, Fahmi berkata, Association of Banks in Malaysia telah mengumumkan kemudahan sokongan kepada syarikat terjejas, khususnya PKS dan PMKS, untuk berunding dengan bank komersial bagi mendapatkan kelonggaran pembayaran atau penstrukturan semula kemudahan kewangan sedia ada.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan operasi industri, terutama dalam sektor pembuatan dan pembungkusan makanan, terus berjalan tanpa gangguan besar.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata permohonan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) untuk mengembalikan kuota 300 liter BUDI RON95 kepada pengamal media dijangka dibincangkan dalam mesyuarat MTEN akan datang.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu belum diberi keutamaan dalam mesyuarat sebelum ini yang lebih menumpukan kepada sektor di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta MITI.
“Perkara ini dalam pengetahuan MTEN tetapi masih dalam giliran untuk perbincangan. Yang semalam dibincangkan membabitkan MOTAC dan MITI, Kementerian Komunikasi masih belum,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya telah mengemukakan permintaan supaya isu melibatkan Kementerian Komunikasi, termasuk daripada industri kreatif, diberi perhatian dalam mesyuarat seterusnya.






