Majikan digesa wujudkan tempat kerja bebas tekanan dan toksik

PUTRAJAYA – Isu kesihatan mental di tempat kerja bukan lagi sekadar isu peribadi, sebaliknya memberi kesan langsung kepada produktiviti serta kesejahteraan organisasi.

Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental Kementerian Kesihatan (KKM), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh majikan dengan menyedari bahawa mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dari segi psikososial bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab.

Beliau berpandangan, ketika ini perbincangan mengenai prestasi dan keuntungan sering menjadi keutamaan di tempat kerja, namun aspek kesihatan mental masih diabaikan.

“Terlalu lama pekerja memendam perasaan, berdepan tekanan, kebimbangan, kemurungan, keletihan melampau (burnout) serta pelbagai cabaran di tempat kerja tanpa sokongan dan pemahaman yang sewajarnya.

“Stigma terhadap kesihatan mental menjadi penghalang utama untuk mendapatkan bantuan, malah boleh membawa kepada kesan serius bukan sahaja kepada individu, tetapi juga organisasi.

“Majikan perlu memastikan beban kerja munasabah, keseimbangan kerja dan kehidupan, serta mewujudkan dasar jelas bagi menangani isu buli, gangguan dan budaya kerja toksik,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.

Mengulas lanjut, Lam Thye menggesa majikan perlu mengambil tanggungjawab, termasuk menggalakkan perbincangan terbuka tanpa stigma, menyediakan akses kepada sokongan seperti kaunseling serta melatih pengurus mengenal pasti tanda awal tekanan mental.

“Tenaga kerja yang sihat dari segi mental akan lebih bersemangat, produktif dan berdaya tahan, manakala masalah kesihatan mental boleh menyebabkan ketidakhadiran, penurunan prestasi serta peningkatan kos kesihatan.

“Lebih penting, ia turut memberi kesan kepada kehidupan individu, keluarga dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat berkata, pekerja turut digalakkan menjaga kesejahteraan mental masing-masing, mendapatkan bantuan apabila diperlukan serta saling menyokong dalam membina persekitaran kerja yang lebih prihatin.

Tambahnya, pihak kerajaan dan agensi berkaitan, termasuk KKM juga perlu memperkukuh dasar serta penguatkuasaan bagi memastikan aspek kesihatan mental di tempat kerja diberi perhatian sewajarnya.

“Ini termasuk mengintegrasikan kesihatan mental dalam kerangka keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta menggalakkan organisasi, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, mengamalkan amalan terbaik.

“Usaha memecah kesunyian berkaitan isu kesihatan mental memerlukan keberanian dan komitmen semua pihak, termasuk majikan, pekerja dan masyarakat.

“Tiada siapa harus menderita dalam diam. Sudah tiba masanya kita mengiktiraf bahawa kesihatan mental adalah penting di setiap tempat kerja dan untuk setiap individu,” katanya.

Related Posts

Usia 15 tahun sudah berjinak dengan dadah sintetik

SEBERANG PERAI – Golongan belia berusia antara 15 hingga 39 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan paling ramai terlibat dalam penyalahgunaan dadah sintetik apabila mencatatkan 84 peratus daripada keseluruhan penagih bahan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Malaysia buktikan status negara aman, kini ranking ke-12 dunia

KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi mencatat rekod tersendiri apabila berada di kedudukan ke-12 negara paling aman daripada 163 negara dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2026, meningkat satu anak tangga…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

APM perhebat kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana, MADANI KITA perlu diperluas

APM perhebat kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana, MADANI KITA perlu diperluas

PH yakin bekas ahli PKR bertanding atas tiket Bersama tidak jejas sokongan pengundi

PH yakin bekas ahli PKR bertanding atas tiket Bersama tidak jejas sokongan pengundi

PRN Johor: Majoriti kerusi DUN saksikan pertandingan tiga penjuru, 14 kerusi BN-PH bertembung

PRN Johor: Majoriti kerusi DUN saksikan pertandingan tiga penjuru, 14 kerusi BN-PH bertembung

Kerajaan MADANI perkukuh mahkamah syariah tanpa bantahan menteri bukan Islam – PM

Kerajaan MADANI perkukuh mahkamah syariah tanpa bantahan menteri bukan Islam – PM

PH muktamad manifesto PRN Johor Isnin ini, tawar agenda realistik demi kepentingan rakyat

PH muktamad manifesto PRN Johor Isnin ini, tawar agenda realistik demi kepentingan rakyat

Kuota diesel Sabah perlu dinilai semula selaras keperluan industri pelancongan – Puspabumi

Kuota diesel Sabah perlu dinilai semula selaras keperluan industri pelancongan – Puspabumi