PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama enam wakil institusi pondok terpilih bagi program Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (IPI) di pejabatnya di Putrajaya, sebagai usaha memperkukuh penguasaan digital dalam kalangan pelajar pondok.
Beliau berkata, program rintis berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Antara institusi pondok yang terlibat ialah Maahad Tarbiah Islamiah, Derang, Pokok Sena; Pusat Pengajian Pondok, Kandis, Bachok; Institut Ahmad Ibni Idris (SAIFI), Rembau; Pusat Pendidikan Ribath Al-Musthofa, Kuantan; Pondok Darul Furqan, Ipoh; serta Maahad Ihya Ulumiddin, Mengkuang Titi, Bukit Mertajam.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook beliau.
Perdana Menteri berkata, beliau yakin institusi pondok mampu meneroka bidang baharu tanpa mengetepikan tradisi ilmu turath al-Islami yang menjadi asas pendidikan Islam.
Dalam masa sama, beliau menegaskan penguasaan teknologi digital khususnya kecerdasan buatan (AI) kini semakin penting dalam menghadapi cabaran semasa.
“Moga ikhtiar ini akan membina landasan yang kukuh dengan asas yang kuat bagi masa hadapan pendidikan Islam di rantau ini,” katanya.




