DI penghujung Syawal, ketika pintu-pintu rumah masih terbuka untuk tetamu dan tangan-tangan pun masih bersalaman, ada satu kalimah sakti yang berulang-ulang kita ucapkan, iaitu maaf.
Kita memaafkan walau ada luka yang belum sembuh. Kita memaafkan walau tidak semua kesalahan pernah dijelaskan. Dan dalam banyak keadaan, kita memaafkan bukan kerana kita lemah, tetapi kerana mahu meneruskan hidup tanpa memikul beban dendam.
Namun, nilai yang begitu mudah diucapkan di ruang keluarga itu menjadi sukar apabila dibawa ke ruang awam, lebih-lebih lagi ke mahkamah.
Di situlah kes melibatkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan beberapa individu seperti Wan Azri atau Papagomo, Ahmad Dusuki Abd Rani serta Ahmad Fauzan membuka satu ruang renungan, bukan sekadar tentang fitnah dan saman, tetapi tentang bagaimana kita mentafsir keadilan dalam masyarakat yang semakin dipacu oleh persepsi.
Sejurus keputusan selesai, naratif mula bergerak pantas di luar mahkamah. Ada yang mempersoalkan keikhlasan permohonan maaf. Ada yang melihat penyelesaian damai sebagai tanda kelemahan. Malah ada yang cuba membina persepsi bahawa keadilan tidak tercapai kerana tiada hukuman berat dikenakan.
Di sinilah kita perlu berhenti sejenak dan bertanya. Apakah tujuan sebenar seseorang membawa kes ke mahkamah? Adakah untuk menghukum semata-mata? Atau untuk mencari kebenaran?
Dalam kes ini, apabila hakim menyarankan penyelesaian secara baik dan pihak-pihak terlibat mengakui serta memperbetulkan kenyataan, maka satu bentuk keadilan telah pun berlaku. Suatu keadilan yang tidak memekik, tetapi menenangkan.
Kita sering lupa bahawa dalam kerangka ‘rule of law’, keadilan tidak semestinya hadir dalam bentuk hukuman. Ia juga boleh hadir melalui pengakuan, pembetulan fakta dan pemulihan nama baik.
Tindakan membawa kes ini ke mahkamah adalah satu langkah yang asertif, satu garis tegas bahawa fitnah tidak boleh dibiarkan. Ia menetapkan batas moral yang jelas dalam ekosistem komunikasi yang semakin tidak terkawal.
Namun apabila pendekatan ini diambil sebagai jalan perdamaian, berbanding langkah agresif yang menuntut kemenangan semata-mata, itu bukan pengunduran sebaliknya kebijaksanaan.
Dalam konteks ini, Fahmi Fadzil tidak datang ke mahkamah untuk membalas dendam, tetapi untuk mencari keadilan dalam makna yang lebih luas. Keadilan yang memulihkan, bukan sekadar menghukum.
Apabila pihak yang terlibat mengakui kesilapan dan memperbetulkan kenyataan di hadapan mahkamah, di situlah terletaknya ‘kemenangan sebenar’. Ia tidak bergantung pada jumlah pampasan, tetapi pada kebenaran yang diperakui secara terbuka.
Inilah yang disebut sebagai ‘restorative justice’, sebuah keadilan yang memulihkan keadaan, bukan membalas secara berlebihan.
Dalam banyak keadaan, memaksa hukuman mungkin memuaskan emosi. Tetapi membina pemahaman dan kesedaran adalah jauh lebih bernilai untuk jangka panjang.
Di sinilah nilai Syawal sentiasa relevan. Kita diajar untuk memaafkan bukan kerana kita tidak mampu membalas, tetapi kerana kita memilih untuk tidak membalas.
Memaafkan adalah satu bentuk kekuatan untuk mengawal diri, untuk melihat melangkaui emosi, dan untuk memilih masa depan yang tidak dibina atas dendam.
Seperti yang pernah diungkapkan oleh T. S. Eliot, “between the idea and reality… falls the shadow.” Dalam politik, ramai yang mempunyai idea tentang keadilan. Tetapi apabila sampai kepada tindakan, bayang-bayang ego dan dendam sering menguasai.
Namun dalam kes ini, bayang-bayang itu tidak dibiarkan menggelapkan keputusan. Ia diganti dengan sesuatu yang lebih sukar, iaitu kebijaksanaan untuk memaafkan.
Pendekatan ini selari dengan nilai yang dibawa dalam gagasan Malaysia MADANI. Ihsan, hormat dan keyakinan.
Ia menunjukkan bahawa kedaulatan undang-undang boleh berjalan seiring dengan kemanusiaan. Bahawa seorang pemimpin tidak perlu memilih antara tegas dan berperikemanusiaan, sebaliknya ia boleh wujud serentak.
Namun kita juga harus realistik. Di antara idea tentang keadilan dan realiti politik, sentiasa ada ruang gelap di mana persepsi dibentuk, diputar dan dimanipulasi. Di ruang inilah tindakan yang berasaskan kebijaksanaan boleh disalah tafsir sebagai kelemahan. Tetapi persoalannya bukan bagaimana ia ditafsir hari ini.
Persoalannya adalah, apakah nilai yang kita mahu kekalkan untuk masa depan? Kita mungkin tidak mampu meramal masa depan politik negara ini. Tetapi kita sentiasa mempunyai pilihan untuk membentuknya.
Jika setiap konflik mesti berakhir dengan penghukuman, maka kita sedang membina masyarakat yang keras.
Namun jika kita berani menerima bahawa keadilan juga boleh hadir bersama kemaafan, maka kita sedang membuka ruang kepada satu bentuk politik yang lebih matang. Politik yang bukan sahaja menegakkan kebenaran, tetapi juga membina manusia.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)




