Bekalan ikan negara stabil – KP Perikanan

IPOH – Bekalan ikan negara kekal stabil dan mencukupi untuk menampung permintaan domestik meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada kenaikan harga bahan api.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pengeluaran semasa masih mampu memenuhi keperluan rakyat memandangkan sebahagian besar nelayan terus turun ke laut seperti biasa.

Menurutnya, walaupun berlaku gangguan operasi secara menyeluruh, stok simpanan sedia ada masih berupaya menampung keperluan protein negara sehingga tempoh tiga bulan.

“Setakat ini, bekalan ikan negara kekal mencukupi dan tidak terjejas kerana vesel di zon A, B dan C masih beroperasi. Malah, jika semua aktiviti penangkapan terhenti sekalipun, stok sedia ada mampu menampung sekurang-kurangnya tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Pindaan Akta Perikanan 2025 dan Kesan Konflik Iran-Amerika Syarikat Terhadap Sektor Perikanan Negara di Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Perak, di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Adnan memaklumkan kerajaan menanggung subsidi besar bagi memastikan operasi vesel perikanan terus berjalan, khususnya di zon A, B dan C.

Bagaimanapun, katanya, vesel zon C2 yang tidak menerima subsidi bahan api dijangka paling terkesan, dengan kira-kira 300 vesel berkemungkinan tidak dapat beroperasi susulan peningkatan kos.

Mengulas langkah mitigasi, beliau berkata Jabatan Perikanan giat memperkasakan subsektor akuakultur sebagai alternatif bagi memastikan rantaian bekalan makanan negara kekal terjamin.

Katanya, pengeluaran akuakultur dari sangkar laut dilihat lebih berdaya tahan berbanding ternakan di sungai, yang dijangka terjejas akibat fenomena El Nino bermula Jun ini.

“Kita menjangkakan paras air sungai akan menyusut dan menjejaskan ternakan sangkar di kawasan berkenaan. Namun, bekalan keseluruhan masih stabil kerana terdapat sumber alternatif dari sangkar laut berskala besar, termasuk di Perak,” jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan ikan negara berada dalam keadaan terkawal dan dipantau rapi.

“Setakat April, impak konflik masih belum dirasai, namun kita menjangkakan kesannya mungkin mula dirasai sekitar Mei hingga Jun,” katanya.

Related Posts

PMX umum bantuan RM1,500 kepada 300 keluarga Kg Bahagia terjejas kebakaran

SANDAKAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera termasuk tambahan dengan keseluruhan sebanyak RM1,500 daripada Kerajaan Persekutuan kepada 300 keluarga terlibat kebakaran di Kampung (Kg) Bahagia, di…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tidak komited kepada parti, 15 AJK letak jawatan – Noor Amin

KANGAR – Seramai 15 ahli jawatankuasa (AJK) PKR Cabang Kangar meletakkan jawatan selepas didapati tidak komited dalam menghadiri mesyuarat parti. Ketua PKR Cabang Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, tindakan itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PMX umum bantuan RM1,500 kepada 300 keluarga Kg Bahagia terjejas kebakaran

PMX umum bantuan RM1,500 kepada 300 keluarga Kg Bahagia terjejas kebakaran

Tidak komited kepada parti, 15 AJK letak jawatan – Noor Amin

Tidak komited kepada parti, 15 AJK letak jawatan – Noor Amin

Keutamaan bantuan pada warganegara, prinsip kemanusiaan tetap dipelihara – PMX

Keutamaan bantuan pada warganegara, prinsip kemanusiaan tetap dipelihara – PMX

Tinjau kemudahan sekolah di Pujut, fokus penambahbaikan RTP 2026

Tinjau kemudahan sekolah di Pujut, fokus penambahbaikan RTP 2026

Polis Padang Besar lancar ‘task force’ pantau stesen minyak sempadan

Polis Padang Besar lancar ‘task force’ pantau stesen minyak sempadan

Isu zakat Perlis tiada kaitan Jabatan Mufti

Isu zakat Perlis tiada kaitan Jabatan Mufti