KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, akan meminta pihak TikTok memperincikan kesan krisis tenaga global serta konflik di Asia Barat terhadap operasi TikTok Shop, khususnya melibatkan aspek penghantaran dan perkhidmatan logistik.
Beliau berkata, hasil penelitian itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dijadual berlangsung pada Selasa depan.
“Penelitian berkenaan penting bagi memahami kesan krisis geopolitik dan tenaga terhadap rakan niaga serta keseluruhan ekosistem TikTok Shop.
“Ini termasuk perkhidmatan berkaitan yang menyokong operasi platform itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program TikTok Shop Raikan Raya 2026 di sini malam ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz.
Menurut Fahmi, lebih tujuh juta penstrim langsung ketika ini terlibat dalam ekosistem TikTok Shop yang menjana pendapatan sebanyak RM1.9 bilion, selain menyediakan kira-kira 147,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Beliau berkata, perkembangan itu membuka lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk menyertai ekonomi digital sama ada dengan menjual produk sendiri atau memasarkan barangan pihak lain menerusi program ‘affiliate’.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan beliau akan mencadangkan supaya TikTok Shop bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang mempunyai hampir 1,100 cawangan di seluruh negara.
“Banyak NADI berada di kawasan luar bandar dan boleh dimanfaatkan untuk melahirkan pencipta kandungan serta membantu komuniti menjual produk tempatan secara dalam talian melalui TikTok Shop,” katanya.
Beliau turut berkata Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, dijadual mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan TikTok di Singapura pada Jumaat ini bagi membincangkan isu berkaitan termasuk perkara tersebut.
Fahmi berharap kemudahan Internet yang meluas dan berkelajuan tinggi di negara ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat untuk menjana pendapatan dari rumah, di samping membantu peniaga memperluas perniagaan melalui platform digital.



