
SIBU – Kerajaan menyasarkan untuk mengisi 15,000 kekosongan jawatan jururawat bertauliah di hospital awam seluruh negara sepanjang tahun ini sebagai usaha memperkukuh sistem kesihatan negara.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, langkah itu dilihat sebagai keperluan mendesak bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja kesihatan yang semakin ketara ketika ini.
Menurutnya, situasi tersebut turut dipengaruhi oleh perubahan demografi negara yang menyaksikan peningkatan populasi warga emas, selain pertambahan kes penyakit kronik seperti diabetes dan jantung yang menuntut penjagaan berterusan.
“Peranan jururawat tidak hanya terhad kepada tugasan klinikal semata-mata, malah mereka merupakan tunjang utama dalam memastikan pesakit menerima sokongan emosi dan penjagaan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Diploma Kejururawatan dan Makmal Simulasi Kejururawatan di Institut Methodist Pilley (MPI) di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Hanifah berkata, pendekatan berasaskan empati dan kepekaan tinggi dalam kalangan jururawat mampu mewujudkan persekitaran rawatan yang lebih kondusif, sekali gus menyumbang kepada proses pemulihan pesakit secara holistik.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik inisiatif MPI memperkenalkan program diploma berkenaan yang disifatkan amat bertepatan dengan keperluan semasa industri kesihatan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja terlatih.
Jelas beliau, kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan sektor swasta termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang menawarkan tajaan penuh serta elaun kepada pelajar adalah satu langkah signifikan untuk kelangsungan pembangunan tenaga kerja tersebut.
Sebagai rekod, program diploma tiga tahun berkenaan kini dibuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dijadual memulakan pengambilan pertama pada 27 April depan.




