
SARATOK – Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun berjaya ditahan oleh pihak polis dalam satu operasi khas membanteras kegiatan perjudian haram di sekitar pekan Saratok, petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan tersebut dilakukan kira-kira jam 3.00 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai oleh Inspektor Hendry.
“Dalam operasi tersebut, seorang lelaki tempatan telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian loteri awam haram di kawasan pekan Saratok,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menemui beberapa barangan yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti perjudian, termasuk dua keping kertas yang mengandungi catatan nombor disyaki nombor loteri awam, sebatang pen dakwat hitam serta sejumlah wang tunai.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai tukang urut di kawasan Krian dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sebagai ejen jualan judi loteri awam haram bagi menambah pendapatan sampingan.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan perjudian haram di daerah ini.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian yang menyalahi undang-undang kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” tegas beliau.
Suspek kini ditahan di Balai Polis Saratok untuk tindakan lanjut, manakala kes disifatkan selesai setakat ini.




