
SEBANYAK 92 peratus rumah Palestin di semenanjung Gaza musnah dalam peperangan yang berterusan Israel.
Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin (UNRWA) pada Isnin menyatakan keluarga-keluarga di Gaza menghadapi kemusnahan yang tidak terbayangkan.
“Menurut Protection Cluster, 92 peratus rumah telah rosak atau musnah.
“Ramai orang telah dipindahkan berkali-kali, dan tempat perlindungan sangat terhad,” tambah kenyataan itu, sambil memperbaharui gesaannya supaya sekatan Israel terhadap wilayah Palestin itu ditamatkan, lapor Anadolu.
Sejak 2 Mac, Israel telah menutup akses masuk makanan, perubatan, dan bantuan kemanusiaan ke Gaza yang memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah pun teruk di wilayah itu, menurut laporan kerajaan, hak asasi manusia, dan antarabangsa.
Sementara itu, selepas 80 hari di bawah sekatan yang melumpuhkan, Israel hanya akan membenarkan sembilan buah trak bantuan memasuki Gaza untuk penduduk seramai 2.4 juta orang, menurut media Israel pada Isnin.
“Sembilan trak yang membawa bantuan kemanusiaan, termasuk makanan bayi, akan memasuki Gaza melalui Israel dalam beberapa jam akan datang,” kata Ghassan Alian, ketua Pejabat Penyelarasan Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT) tentera Israel, kepada Army Radio, lapor Anadolu.
Radio tersebut melaporkan bahawa trak-trak bantuan itu akan dihantar ke gudang-gudang milik organisasi antarabangsa, yang kemudiannya akan mengedarkannya kepada rakyat Palestin.









